Jangan pandang remeh kewajipan tunai zakat harta

Iklan
Amalan berzakat dapat menyucikan harta serta membersihkan diri daripada perkara mazmumah.

GEORGETOWN - Zakat merupakan Rukun Islam keempat yang wajib dilaksanakan terutama bagi umat Islam yang cukup syarat, mempunyai harta yang melebihi nisab dan cukup haul tahunannya.

Tuntutan ini bukan sahaja dapat membersihkan diri daripada perkara mazmumah seperti bakhil, kedekut dan kurang prihatin terhadap nasib golongan lebih memerlukan, malah ia berperanan untuk membangunkan ekonomi umat Islam dengan merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin.

Iklan
Iklan

Apabila disebut mengenai zakat, rata-rata masyarakat lebih sinonim dengan zakat fitrah yang ditunaikan pada bulan Ramadan namun zakat harta juga wajib dikeluarkan dan tidak sepatutnya dipandang remeh.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, harta yang ALLAH jadikan untuk manusia bukannya untuk disimpan sebaliknya ia perlu beredar untuk kegunaan masyarakat kerana setiap harta yang diperoleh itu sebenarnya terdapat kepunyaan orang lain.

Wan Salim

Iklan

"Jika kita hanya menyimpan, kita akan dipertanggungjawabkan atas harta itu kerana kita tidak sampai kepada objektif ALLAH jadikan harta.

"Zakat ini adalah hak orang lain yang ada dengan kita. Sekiranya kita tidak menjalankan kewajipan ini, ibarat kita makan hasil haram seperti seperti riba dan judi.

Iklan

"Oleh demikian, kita wajib keluarkan zakat dan yakinlah dengan amalan perkongsian ini tidak akan mengurangkan harta seseorang, malah akan bertambah keberkatan dan kesuburan harta mereka yang menunaikannya,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Wan Salim berkata, kesedaran dan pemahaman mengenai zakat harta perlu diperluaskan kepada masyarakat supaya umat Islam mengetahui kewajipan melaksanakannya.

"Zakat harta merangkumi zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, emas dan perak, tanaman, penternakan selain harta galian dan harta karun.

"Umat Islam boleh merujuk institusi pengurusan zakat seperti Zakat Pulau Pinang (ZPP) untuk mengetahui kaedah pengiraan dan jumlah zakat yang perlu dibayar,” kata beliau.

Wan Salim berkata, zakat harta wajib dikeluarkan di tempat harta diperoleh atau perniagaan itu beroperasi, berbeza dengan zakat fitrah yang boleh dibayar di tempat seseorang itu menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata, mengikut pandangan mazhab Syafie, Maliki dan Hambali tidak membenarkan zakat harta dipindahkan dan sepatutnya tidak timbul isu kutipan dan pembayaran zakat harta rentas negeri ketika ini.

Menurutnya, perkara itu perlu ditangani kerana ia akan menafikan hak asnaf dalam menerima bantuan selain melanggar pensyariatan zakat sehingga menjejaskan kutipan agensi yang dipertanggungjawabkan.

"Perawi hadis menukilkan bahawa Rasulullah SAW ketika mengutus Sayyidina Mu’az bin Jabal sebagai Gabenor di Yemen, Baginda berpesan yang maksudnya:"Beritahu mereka (penduduk Yemen), sesungguhnya ALLAH SWT memfardukan zakat pada harta mereka, diambil daripada orang-orang kaya mereka dan diserahkan kepada fakir miskin mereka.”

"Khalifah Umar Ibnu al-Khattab enggan menerima zakat yang dibawa kepada beliau oleh Mu’az bin Jabal dari Yemen dan mengarahkan supaya harta zakat itu dipulangkan semula ke Yemen untuk diagihkan kepada golongan fakir miskin di sana.

"Berdasarkan kepada fakta-fakta inilah, maka ramai ulama menegaskan bahawa harta zakat hendaklah diagihkan kepada asnaf di negeri atau tempat di mana ia diperoleh atau dikutip dan tidak boleh dipindahkan ke negeri lain kecuali jika benar-benar diperlukan atau melebihi kecukupan tempatan,” katanya.

Wartawan Sinar Harian, Mohd Iskandar Othman (kiri) sewaktu menemubual Wan Salim di pejabatnya di Komtar baru-baru ini.

Beliau berkata, isu kutipan zakat rentas negeri itu perlu dibincangkan di peringkat muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan dan perlu dibuat ketetapan.

Dalam perkembangan sama, Wan Salim menyambut baik inisiatif diambil oleh ZPP dalam menarik lebih ramai umat Islam menunaikan zakat dengan memperkenalkan Skim Kafalah Mahabbah.

Skim yang mula dilaksanakan pada tahun ini akan memberi faedah kepada waris pembayar zakat dan asnaf sekiranya meninggal dunia.

Mereka layak menerima bantuan khairat kematian RM1,000 sekiranya seseorang itu membuat pembayaran zakat harta minimum RM100 setahun manakala bantuan berkenaan layak diberikan kepada asnaf yang menerima bantuan bulanan ZPP.

Bagaimanapun Wan Salim berkata, masyarakat seharusnya memahami maksud ibadat zakat dengan niat semata-mata mencari keredaan ALLAH walaupun tidak menerima sebarang balasan.

Dengan amalan berzakat, katanya, asnaf yang berhak menerima zakat akan mensyukuri bantuan diterima dan mereka akan berdoa agar kesenangan diberikan kepada pembayar zakat.

"Pastinya saya mengharapkan kesedaran masyarakat dalam menunaikan kewajipan berzakat yang akan bertambah dan akan meningkatkan lagi jumlah kutipan, ia sekaligus membolehkan pihak pengurusan zakat dapat membantu lebih ramai golongan asnaf yang memerlukan perhatian.

"Memang isu kemiskinan tidak dapat dibasmi sepenuhnya namun pihak terbabit termasuk kerajaan perlu mencari pendekatan serta formula yang lebih berkesan dalam memastikan tiada umat Islam yang terpinggir dan hak mereka dibela,” katanya.