BEKAS bintang Brazil, Rivaldo menggesa pemain Manchester City, Gabriel Jesus untuk terus kekal di Etihad di bawah kendalian Pep Guardiola di sebalik polemik perpindahannya ke kelab lain.
Rivaldo berkata, Jesus seharusnya fokus terhadap komitmennya bersama The Citizens dengan tidak mengendahkan tawaran seperti dari kelab gergasi Itali, Inter Milan.
Menurut Rivaldo, pemain berusia 23 tahun itu telah membentuk gandingan persefahaman yang baik dengan bersama bintang Argentina, Sergio Agüero.
"Penyokong-penyokong Manchester City menaruh harapan tinggi kepadanya khususnya untuk bersaing bersama Aguero yang sentiasa menjadi pemain sasaran di depan gawang lawan.
"Hal ini memberikan peluang kepada Jesus untuk terus menyerlah sekali gus memberikan impak kepada pemain di bangku simpanan,” katanya.
Tambah Rivaldo, kecederaan dihadapi Aguero juga secara tidak langsung membolehkan Jesus menyerlah pada baki saingan musim ini.
Katanya, Jesus juga perlu mengambil manfaat berlatih di bawah Guardiola biarpun bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu akan membawa masuk lebih ramai pemain handalan ke Etihad.
"Saya merasakan rakan senegara saya itu, perlu terus kekal di Etihad untuk tempoh masa yang lebih lama selepas ini. Dia pun telah selesa di sini.
"Aguero difahamkan telah pun menamatkan saingan lebih awal akibat kecederaan dan ini membuatkan Jesus berpeluang membuktikan kewibawaannya bersama City.
"Sekarang Jesus perlu fokus dan pada masa sama membina keyakinan dengan kerap menjaringkan gol selain membantu City mencapai objektif mereka,” katanya.