[VIDEO] 'Saya dah tak ada hati dengan PKR'

Iklan
Zulkifli (tengah) menunjukkan surat pemecatannya.

NIBONG TEBAL - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim mengakui kecewa dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila tidak diberi peluang untuk membela diri sebelum dipecat.

Menurutnya, beliau amat terkejut apabila menerima surat pemecatan bertarikh 1 Julai kerana tiada alasan dinyatakan berhubung tindakan tersebut terhadapnya.

Iklan
Iklan

Zulkifli berkata, beliau juga terkilan apabila beberapa maklumat tidak benar disebarkan selepas pertemuannya dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Jun lalu di kediaman Anwar di Bukit Gasing.

"Saya amat terkejut selepas menerima surat pemecatan kerana kesetiaan saya terhadap Anwar sejak 1998 tidak boleh dipertikaikan. Saya bersama rakan-rakan lain menempuh pelbagai cabaran dan dugaan demi perjuangan prinsip parti. Oleh itu, apabila saya dipecat tanpa diberi alasan dan peluang untuk saya membela diri, maka saya tidak boleh terima.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: PKR perlu keluar daripada PH: ADUN Sungai Acheh

Afif, Zulkifli khianati mandat rakyat

Iklan

'Saya tak akan buat rayuan'

"Sepatutnya Jawatankuasa Disiplin Parti PKR perlu memanggil saya untuk siasatan sebelum pemecatan. Adakah ini tunjang prinsip PKR yang diagungkan selama ini," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat ADUN Sungai Acheh di sini tadi.

Turut hadir, ADUN Penaga, Mohd Yusni Mat Piah, Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim.

Tambahnya, beliau juga tidak akan membuat rayuan dalam tempoh yang diberikan kerana hilang kepercayaan terhadap Anwar.

"Saya sudah tiada hati untuk kembali kepada PKR, malah saya juga tidak akan membuat rayuan kepada parti. Untuk apa rayuan jika dari awal saya tidak diberi peluang untuk membela diri. Tiada apa yang boleh diharapkan dengan Anwar kerana beliau tidak jujur, bukan sahaja dengan rakyat malah ahli parti sendiri.

"PKR kena jujur dengan rakyat. Rakyat menderita terutamanya ketika penularan wabak Covid-19. Ramai hilang kerja, gaji dipotong. Perkara seperti ini lah yang perlu diberi perhatian, bukannya memberi tumpuan ke atas soal peribadi pemimpin tertentu dalam Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Zulkifli turut mempertahankan tindakannya berjumpa dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipertikaikan beberapa pihak.

Zulkifli (tiga dari kiri) bersalaman dengan Muhamad Yusoff selepas sidang media tadi.

"Mengapa Anwar boleh bertemu dengan Perdana Menteri? Adakah pertemuan itu untuk agenda rakyat atau demi agenda politiknya yang tiada kesudahan? Apa yang membezakan perjumpaan itu adalah, saya berjumpa kerana tugas dan tanggungjawab, bukannya inginkan jawatan semata-mata.

"Selain itu, saya juga diberi tekanan dan diganggu oleh kepimpinan PKR apabila bekerjasama dengan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman. Fokus utama saya adalah membantu rakyat, bagi saya tidak salah untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) ketika membantu rakyat," katanya.

Ditanya mengenai parti yang akan disertainya selepas ini, Zulkifli berkata, beliau akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

"Saya yakin PKR dan PH tidak boleh lagi menjadi sandaran rakyat pada masa akan datang. Oleh itu, saya memilih dan teguh dengan Perikatan Nasional untuk memastikan kerajaan Persekutuan yang mengutamakan kebajikan rakyat akan terus dipertahan dan dikekalkan.

"Saya sudah buat keputusan parti mana yang akan saya sertai. Saya akan serah borang keahlian dan umumkan dalam masa terdekat," katanya.

Terdahulu, Zuklifli meluahkan rasa kecewa di Facebooknya selepas gambar pertemuan dengan Anwar pada 3 Jun lalu disebarkan di media sosial.

Beliau kemudiannya dilaporkan mengesahkan mengadakan perjumpaan bersama ADUN dari UMNO, Pas dan Bersatu dengan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.