Tengku Permaisuri Selangor rasmi Pusat Sehenti Kucing

Iklan
Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin (dua, kanan) berkenan melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang hari ini.- Foto Bernama

SERDANG - Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan menyempurnakan perasmian Pusat Sehenti Kucing Selangor sempena hari keempat pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018).

Keberangkatan baginda diiringi oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub dan isterinya, Datin Fatimah Taha.

Baginda menyempurnakan majlis perasmian berkenaan di Dewan Pameran A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini yang turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Medic Pets (M) Sdn Bhd (Medic-Pets) Siti Sofiah Ramli.

Baginda turut berkenan mengunjungi beberapa tapak pameran selepas selesai merasmikan pelancaran majlis itu dan berangkat meninggalkan dewan itu kira-kira pukul 11.30 pagi.

Sementara itu, Siti Sofiah berkata Pusat Sehenti Kucing Selangor akan dibuka sepenuhnya pada Disember ini, di Setia Alam, Selangor dan penubuhan pusat itu bertujuan memberi maklumat kepada pemilik kucing mengenai penjagaan haiwan peliharaan itu dengan kaedah sebetulnya.

"Ia (Pusat Sehenti Kucing Selangor) juga merupakan pusat bagi pemilik atau penggemar kucing mempelajari cara-cara atau teknik-teknik penjagaan serta mendapatkan informasi mengenai penyakit-penyakit haiwan peliharaan itu," katanya ketika berucap pada majlis perasmian itu.

Katanya lagi, penubuhan pusat itu dicetuskan oleh para sukarelawan Medic Pets dan ditanggung sepenuhnya oleh Medic Pets Sdn Bhd dengan kerjasama Selangor Youth Community (SYC).

Medic Pets merupakan sebuah syarikat pengeluaran produk bio-herba dan bioteknologi untuk haiwan peliharaan dan telah ditubuhkan pada tahun 2014.

Selain itu, MAHA 2018 bermula pada 22 November lalu hingga 2 Dis ini, bertemakan 'Makanan Kita Masa Depan Kita', menampilkan 770 gerai jualan dengan penyertaan 680 pempamer, mesyuarat perniagaan serta forum perniagaan bersama jemputan daripada agensi kerajaan berkaitan.

Sebanyak 501 menu juadah popular dari semua negeri, produk asas tani, buah-buahan dan sayur-sayuran, anak pokok dan bunga-bungaan, ikan dan makanan laut segar turut dijual pada MAHA 2018.

Ekspo pertanian terbesar Malaysia itu turut mempamerkan 13 pavilion negeri dengan menampilkan identiti, kebudayaan, pameran dan juadah makanan negeri yang dapat dinikmati oleh pengunjung. –Bernama