PEKAN - Seorang lelaki yang merupakan orang kurang upaya masalah pembelajaran, pendengaran dan percakapan mencuri perhatian apabila menghias motosikalnya dengan bendera Malaysia sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini hari ini.
Suhaimi Abdul Razak, 51, yang juga bapa kepada lima anak itu berkata, dia tidak akan melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawab mengundi setiap kali pilihan raya.
Iklan
Iklan
Menurutnya, peluang memilih digunakan sebaik mungkin bagi memilih wakil rakyat yang bukan sahaja boleh memberi pembangunan kepada DUN Chini, sebaliknya boleh menjaga kebajikan rakyat setempat.
"Saya sudah enam kali mengundi dan saya akan pastikan diri saya pilih calon yang boleh membantu rakyat setempat.
"Inilah masanya untuk kita memilih calon terbaik, calon yang benar-benar boleh menjaga kebajikan masyarakat di DUN Chini," kata pengundi generasi kedua Felda Chini 3 ini.
Selain menunaikan tanggungjawab mengundi, katanya, aktiviti menghias motosikal itu juga dilakukannya setiap kali pilihan raya dan hari kemerdekaan bagi menyemarakkan semangat patriotik untuk dirinya.
"Mengundi ini macam sambut Hari Kebangsaan, sebab itu saya akan hias motosikal saya dengan bendera untuk menimbulkan semangat patriotik, sekali gus menunjukkan saya bangga menjadi anak Malaysia," katanya.