Kita tahu hari ini akan tiba,
Momen berat dalam hidup kita,
Anda melabuhkan tirai dengan bergaya,
Anda adalah raja di mana kami berperang dengan begitu bangga,
Dalam tangisan air mata yang senyap.
Itu bait-bait kata istimewa yang dititipkan bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kepada jagoan China, Lin Dan dalam laman sosial Facebook peribadinya sebentar tadi.
Lin Dan yang juga juara Olimpik dua kali secara rasmi mengumumkan persaraannya hari ini selepas 20 tahun menggegar gelanggang badminton dunia.
"Dari 2000 hingga 2020, selepas 20 tahun, saya perlu mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kebangsaan. Ia sesuatu yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
"Ahli keluarga, jurulatih, rakan-rakan sepasukan dan penyokong sentiasa bersama sepanjang saya berada dalam kemuncak prestasi atau waktu sukar.
"Setiap lompatan saya adalah keinginan untuk meraih kejayaan. Saya sudah mendedikasikan segala-galanya kepada sukan yang saya cintai ini," kata Lin Dan menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Weibo.
Difahamkan, Lin Dan yang kini telah mencecah usia 37 tahun menghantar surat permohonan untuk bersara kepada Persatuan Badminton China beberapa hari lalu.
Dengan keputusannya itu, Lin Dan, pemenang pingat emas Olimpik 2008 di Beijing, China dan 2012 di London tidak akan beraksi pada temasya Olimpik di Tokyo, Jepun tahun depan.
Selain dua emas Olimpik dalam genggamannya, Lin Dan yang terkenal dengan gelaran Super Dan turut cemerlang merekodkan lima gelaran dunia iaitu pada edisi 2006, 2007, 2009, 2011 dan 2013.
Di pentas antarabangsa, Lin Dan dan Chong Wei dianggap seteru utama dan sering dilabel sebagai musuh tradisi lebih sedekad yang lalu.
Biarpun sering 'bermusuh' setiap kali dipertemukan dalam mana-mana kejohanan, kedua-dua jagoan dunia itu tampak cukup akrab apabila mereka berada di luar gelanggang.
Persaraan Lin Dan yang juga bekas pemain nombor satu dunia juga dianggap cukup signifikan kerana detik itu hadir kira-kira setahun selepas Chong Wei 'menggantung raket' pada Jun tahun lalu.