Nelayan terima elaun sara hidup lebih RM42 juta

Iklan
Che Abdullah (dua dari kanan) melihat barangan menangkap ikan yang diterima Sudin di rumahnya di Kampung Geting, Tumpat hari ini.

TUMPAT - Kerajaan telah membelanjakan lebih RM42 juta bagi pembayaran Elaun Sara Hidup Nelayan di seluruh negara untuk tempoh sehingga Mei tahun ini melibatkan lebih 168,000 penerima.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sentiasa berusaha untuk mengubah taraf hidup nelayan supaya golongan tersebut keluar dari kepompong kemiskinan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan melalui LKIM telah melaksanakan pelbagai bentuk bantuan seperti Elaun Sara Hidup Nelayan, Bantuan Subsidi Diesel dan Petrol, Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan, Baik Pulih Rumah dan sebagainya.

"Kerajaan mengakui bahawa nelayan berperanan besar dan penting dalam membekalkan sumber makanan negara.

Iklan

"Kerajaan tidak pernah mengabaikan mereka dan pelbagai bentuk bantuan serta sokongan termasuk inisiatif tertentu terus dilaksanakan sebagai galakan kepada kumpulan ini," katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis Perjumpaan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Bersama Nelayan Tumpat di Kompleks LKIM Geting di sini.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan LKIM, Kusuadi Salih; Setiausaha Dasar dan Perancangan Strategik MOA dan Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Pertubuhan Nelayan LKIM, Rashima Baharudin.

Che Abdullah (tengah) menyerahkan pukat kepada salah seorang nelayan menerusi Program Rezeki Tani di Kompleks LKIM, Tumpat hari ini.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, pada tahun lalu lebih RM88 juta disalurkan kepada 40,000 penerima Elaun Sara Hidup Nelayan di seluruh negara.

Pada majlis sama, Che Abdullah menyerahkan bantuan peralatan menangkap ikan seperti eco sounder, GPS, pukat dan generator kepada lima penerima di kawasan Tumpat menerusi Program Rezeki Tani.

Beliau turut menyampaikan bantuan Bencana Alam dan Kebajikan kepada tiga waris nelayan berjumlah RM1,000 setiap seorang.

Sementara itu, seorang penerima, Sudin Ismail, 57, berkata, dia sangat berterima kasih kepada MOA kerana memberikan peralatan menangkap ikan yang baharu.

"Saya selalu terfikir macam mana hendak gantikan pukat jerut lama yang sudah carik. Alhamdulillah, dengan bantuan kerajaan ini saya boleh tukarkan pukat yang sudah berusia 20 tahun itu.

"Bolehlah kami 15 sekawan turun ke laut dengan perkakas yang baharu dan mudah-mudahan bertambahlah rezeki kami,” katanya.