Tukang kebun ceroboh asrama, cabul pelajar

Iklan
Hanyan Ramlan

KEMAMAN - Seorang tukang kebun ditahan kerana disyaki menceroboh asrama perempuan sebuah sekolah menengah di daerah ini dan mencabul pelajar dalam kejadian hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, penahanan lelaki berusia 32 tahun itu dilakukan setelah satu laporan polis dibuat oleh seorang guru yang juga warden asrama sekolah berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, warden berkenaan telah mendapat aduan melalui WhatsApp oleh seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima pada jam 3.15 pagi yang memaklumkan ada pelajar ternampak kelibat seorang lelaki tidak dikenali berada di bawah katil dalam bilik di sebuah dorm kira-kira jam 3 pagi.

"Lelaki itu didakwa keluar dari bawah katil secara tiba-tiba dan terus menghampiri tiga pelajar perempuan, lalu meminta telefon bimbit sambil meraba pelajar berkenaan di bahagian paha.

Iklan

"Dia juga mengugut pelajar itu supaya berdiam diri dan mengatakan mempunyai pisau. Bagaimanapun, salah seorang daripada pelajar itu nekad menjerit meminta tolong dan melarikan diri.

"Suspek kemudian mengejar pelajar itu sehingga sampai ke tangga dorm, sebelum melarikan diri keluar dari asrama tersebut," katanya.

Iklan

Jelasnya, warden itu kemudiannya ke asrama dan mendapati semua pelajar telah berkumpul di tengah bangunan asrama.

Menurutnya, hasil rondaan mendapati pagar asrama telah dipotong dan pisau pemotong ditemui di bawah katil pelajar yang diduduki oleh suspek.

Hanyan berkata, suspek akan direman esok di Mahkamah Majistret Kemaman untuk siasatan lanjut.