Bukti BN masih relevan, diterima rakyat

Iklan
Mohd Sharim meraikan kemenangan pada PRK DUN Chini bersama kepimpinan Barisan Nasional di pusat penjumlahan rasmi undi pilihan raya Chini, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan hari ini. - Foto Bernama

PEKAN - Kemenangan enam kali dalam pilihan raya kecil (PRK) termasuk yang terbaru di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini malam ini membuktikan Barisan Nasional (BN) masih relevan dan diterima oleh rakyat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lambang dacing (BN) tidak lagi diterima rakyat terbukti tidak benar.

Iklan
Iklan

"Saya yakin enam PRK ini (selepas Pilihan Raya Umum ke-14) jelas memberikan suatu bukti bahawa BN bukan sahaja masih relevan tetapi mempunyai masa depan cerah jika parti komponen serta sokongan Muafakat Nasional dapat membawa kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Apatah lagi sekarang kita menyokong Perikatan Nasional. Kombinasi ini juga menyumbang kejayaan (kemenangan) selain pengundi Chini sendiri mahu kesinambungan perkhidmatan BN,” kata Presiden UMNO itu kepada pemberita selepas pengumuman rasmi keputusan PRK Chini di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, dekat sini, malam ini.

Iklan

BN sebelum ini menang PRK Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Tanjung Piai dan Parlimen Kimanis.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pekan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun berhadapan dengan dua calon Bebas, namun jentera Muafakat Nasional tidak memandang ringan tentang saingan itu.

Iklan

"Kemenangan ini menunjukkan BN dan Muafakat Nasional mendapat sokongan kukuh dalam kalangan pengundi sehingga dua calon Bebas hilang deposit.

"Saya anggap ini sebagai kemenangan pengundi DUN Chini kerana mereka inginkan wakil rakyat yang boleh berkhidmat dan teruskan pembangunan di kawasan mereka selain mahu masa depan yang lebih baik dan terjamin,” katanya.

PRK DUN Chini menyaksikan calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 41, menang dengan majoriti 12,650 selepas memperoleh 13,872 undi.

Pencabarnya iaitu dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, meraih 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, hanya mendapat 137 undi, menyebabkan kedua-duanya hilang deposit.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan formula calon muda yang diketengahkan membuahkan hasil dengan majoriti besar yang diperoleh oleh BN.

Katanya, selain faktor calon muda, Mohd Sharim sudah dikenali oleh segelintir besar penduduk DUN Chini kerana aktif dalam pelbagai persatuan belia selain kerap membantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum itu, Allahyarham Abu Bakar Harun.

"Tapi sudah pasti kita sendiri mahu mengetengahkan calon muda untuk menjadi pelapis kepada perjuangan parti. Selain itu, faktor pengundi muda yang berusia antara 21 hingga 39 tahun lebih 55 peratus di DUN Chini menjadikan beliau calon yang tepat," katanya.

Selain itu, Wan Rosdy juga menyifatkan kerjasama jentera BN yang turut disokong oleh Pas berdasarkan semangat Muafakat Nasional dan juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas kerjasama Perikatan Nasional sebagai faktor utama kemenangan Mohd Sharim.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian Abu Bakar, 60, pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) pada 2004.

Sokongan Pas itu boleh dilihat apabila Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, yang tewas kepada Abu Bakar pada PRU14, menjadi penyokong kepada Mohd Sharim pada hari penamaan calon 20 Jun lepas.

Mohd Fadhil Noor berkata, sokongan Pas adalah keputusan pimpinan parti itu supaya akar umbi menyokong calon BN menerusi kerjasama dalam Muafakat Nasional.

"Kita bagi sokongan padu dan bersatu untuk beri komitmen terhadap calon BN dan inilah hasilnya," katanya. - Bernama