KUALA LUMPUR - Rang Undang-undang Covid-19 (Langkah Sementara) yang dirancang kerajaan untuk diperkenalkan tidak lama lagi, akan hampir sama dengan yang dilaksanakan dan diumumkan di negara seperti New Zealand dan Singapura, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
"Undang-undang baharu ini akan dibincangkan di Kabinet dan akan dibawa ke Parlimen tidak lama lagi.
"Ini adalah langkah pelepasan sementara yang bertujuan membantu rakyat Malaysia,” katanya dalam program ‘Money Matters’ terbitan TV3 hari ini.
Mengulas mengenai kemungkinan untuk melanjutkan moratorium pinjaman yang berakhir 30 September ini, beliau menasihatkan bank dan pelanggan untuk berbincang antara satu sama lain.
Sebagai bekas ketua pegawai eksekutif bank, beliau sedia maklum mengenai cabaran yang dihadapi oleh bank, namun turut sedar bahawa rakyat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan masalah tersendiri seperti gangguan aliran tunai dan pengangguran.
"Saya berpendapat adalah penting untuk bank melihat segmen masyarakat dan PKS yang masih memerlukan sokongan dan membantu menstrukturkan semula pinjaman mereka. Mereka perlu memberi bantuan sebanyak mungkin kepada kumpulan ini,” katanya.
Tengku Zafrul menegaskan bahawa Malaysia tidak mengalami krisis kewangan pada masa ini berikutan bank-bank adalah lebih kukuh berbanding situasi yang dihadapi semasa krisis kewangan 2008-2009, khususnya dengan penampan modal yang tinggi berjumlah RM121 bilion.
Sementara itu, beliau berkata, antara sektor yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 adalah industri pelancongan yang menjadi sektor pertama menerima impak itu dan dijangka yang terakhir untuk pulih.
Beliau berkata, pelancongan domestik merupakan kunci kepada pemulihan jangka pendek industri berikutan Malaysia belum membuka sempadannya.
Tengku Zafrul turut menggesa operator pelancongan agar mematuhi prosedur operasi standard yang ketat untuk mengembalikan keyakinan pengunjung dan sektor pelancongan domestik dapat dirancakkan kembali.
Mengenai industri penerbangan dan sama ada kerajaan akan menyelamatkan syarikat penerbangan dalam keadaan yang mencabar ini, beliau berkata, adalah penting untuk syarikat penerbangan mencari penyelesaian komersial.
"Saya tidak yakin (dengan cara) menyelamatkan pemegang saham, dan tiada satu pihak pun dalam kalangan mereka yang minta untuk diselamatkan. Kita mungkin mencari jalan untuk membantu syarikat supaya mereka boleh kekal bertahan dan pekerjaan dapat diteruskan.
"Setakat ini, tiada permintaan daripada mana-mana syarikat penerbangan untuk kerajaan memberikan suntikan pembiayaan langsung,” katanya. - Bernama