[VIDEO] WABAK kesihatan global Covid-19 ibarat mimpi ngeri kepada industri pelancongan Malaysia.
Impian kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang menyasarkan kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa bukan sahaja musnah malah terpaksa menanggung kerugian keseluruhan sebanyak RM45 bilion atau RM375 juta sehari dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri melihat situasi itu dengan lebih bimbang lagi susulan 156,000 orang dalam sektor itu telah hilang pekerjaan.
Begitupun, dalam wawancara bersama Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin serta Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Badruldin Zakaria dan Zuki Pileh di Putrajaya minggu ini, Ahli Parlimen Batang Sadong, Sarawak itu tetap optimis industri pelancongan negara dapat diselamatkan oleh pelancong tempatan menerusi aktiviti beli-belah, hiburan, sukan dan penginapan.
SINAR AHAD: Datuk Seri diberikan portfolio sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan ketika sektor pelancongan dalam keadaan paling terjejas. Apa yang Datuk Seri nampak ketika itu?
NANCY: Hampir semua orang bercerita tentang sektor pelancongan paling teruk terjejas akibat Covid-19. Saya sedih mendengarnya. Tetapi saya kata pada diri sendiri, saya boleh lakukan. Saya perlu memikirkan masa hadapan. Jadi, saya bersama dengan pasukan dalam kementerian ini sentiasa bermesyuarat walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Kita bermesyuarat secara online dan berbincang tentang bagaimana kita mahu menghidupkan semula ekonomi pelancongan negara dan membantu rakyat.
Perkara pertama saya lakukan ialah mencari jalan supaya golongan B40 dalam industri pelancongan mendapat manfaat daripada peruntukan yang ada. Namun, ia belum cukup dan kita harus melaksanakan strategi tertentu.
Pertama ialah merancakkan pelancongan domestik. Kedua, membuka sektor pelancongan kepada negara paling dekat dengan kita seperti Singapura dan negara-negara ASEAN. Ketiga, membuka pelancongan kepada masyarakat antarabangsa. Kita ada tiga strategi ini tetapi paling awal dilaksanakan adalah pelancongan domestik.
Untungnya saya memegang jawatan Menteri Pelancongan ini kerana di Sarawak, saya juga ialah pengerusi kepada jawatankuasa pelancongan negeri.
Boleh Datuk Seri jelaskan betapa teruknya kesan pandemik Covid-19 kepada sektor pelancongan?
Kesannya sangat teruk. Kalau dikira bermula Januari hingga April, kerugian kita adalah kira-kira RM45 bilion dengan lebih 156,000 orang hilang pekerjaan dalam sektor pelancongan. Kebanyakan pendapatan sektor pelancongan dijana pelancong asing tetapi malangnya kita terpaksa menutup lapangan terbang dan membatalkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 akibat Covid-19. Kalau dipanjangkan lagi PKP ini sehingga hujung tahun, sektor ini akan lebih teruk terjejas.
Kebanyakan yang rugi dalam sektor ini ialah hotel dan operator pelancongan kerana mereka mempunyai pekerja. Ada juga restoran dan syarikat penerbangan yang mengalami kerugian.
Selain itu, industri muzik dan kebudayaan seperti teater, kraf, pelukis dan buskers turut rugi. Walaupun mereka nampaknya seperti tidak begitu ke hadapan tetapi bilangan mereka ramai. Bayangkan, bukan mereka sahaja yang terkesan bahkan keluarga mereka juga. Saya rasa begitu risau dan sentiasa memikirkan apa yang kita boleh buat untuk membantu.
Kalau kita bercakap tentang pelancongan, mereka ini adalah nilai tambah. Kalau orang melancong tidak ada kumpulan muzik, tidak ada orang menari dan tidak ada orang menjual hasil kraf tangan ia seperti tidak lengkap.
Mungkin Datuk Seri boleh kongsikan berapa banyak hotel yang telah ditutup dan dibuka semula serta berapa ramai yang hilang kerja?
Kalau semua hotel di negara ini ditutup mungkin satu juta orang akan hilang pekerjaan. Pada peringkat awal, ada ramai yang kata sebanyak 750 buah hotel ditutup tetapi angka ini adalah semasa PKP di mana hotel tidak dibenarkan beroperasi. Ada juga yang mendakwa lima peratus hotel di Malaysia bakal ditutup selama-lamanya. Tetapi ada juga hotel ambil peluang untuk membuat pengubahsuaian premis ketika PKP ini dan bukan tutup secara kekal. Kita tidak boleh nafikan memang ada hotel yang benar-benar tutup kerana mereka sangat terkesan.
Bagaimanapun, dua hari lalu saya menerima maklumat bahawa kebanyakan hotel di lokasi tumpuan pelancong di Malaysia penuh ditempah. Ini menunjukkan orang mula keluar rumah dan pergi bercuti. Saya rasa mungkin selepas ini baru kita dapat tahu berapa jumlah hotel yang sebenarnya terpaksa menamatkan operasi. Lagi pun hal berkaitan operasi hotel terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, bukannya di bawah kementerian saya.
Jika sehingga Disember lapangan terbang belum dibuka dan kemasukan pelancong asing masih dilarang, apakah yang akan berlaku?
Kita harap dapat memulihkan ekonomi dengan lebih cepat tanpa perlu menunggu sehingga akhir tahun. Pada masa ini kita telah berbincang untuk membuka negara secara dua hala dengan Singapura. Kita juga sudah berunding dengan Brunei dan mengenal pasti negara-negara ASEAN lain yang tersenarai sebagai negara zon hijau.
Untuk pelancongan domestik, kita sudah benarkan penerbangan ke Sarawak dan Sabah dan ini menjadi titik permulaan. Untuk negara luar, kita telah benarkan kedatangan rakyat Singapura dan Brunei, dan sedang menunggu persetujuan mereka.
Bagaimana pula dengan laporan diterima kementerian berhubung sektor berkaitan yang terjejas seperti pemandu teksi?
Pemandu teksi banyak bergantung kepada jumlah pelancong yang tiba di lapangan terbang dan stesen kereta api, pastilah mereka terkesan. Begitu juga dengan pengusaha bas pelancong sebab ramai orang takut melancong secara berkumpulan.
Saya sarankan mereka promosikan produk pelancongan domestik. Mereka juga boleh berkolaborasi dengan persatuan seni. Semua pihak terkesan tetapi semuanya perlu dihidupkan semula dan kami di kementerian akan memberikan sokongan.
Adakah moratorium atau penangguhan bayaran balik pinjaman bank perlu dilanjutkan bagi merancakkan industri pelancongan?
Sebenarnya moratorium melibatkan penggiat sektor pelancongan telah dilanjutkan sehingga Jun 2021.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa membentangkan pelan Penjana pada 5 Jun lalu telah mengumumkan pengecualian cukai pelancongan bagi tempoh bermula 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021 sebagai antara langkah untuk mengaktifkan semula industri itu di negara ini.
Selain itu, kerajaan juga memberi penangguhan bayaran ansuran taksiran cukai ke atas industri pelancongan seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan sehingga hujung tahun ini. Pengecualian cukai ke atas perkhidmatan penginapan turut diberi mulai 1 September hingga 30 Jun tahun depan.
Jadi, kesempatan ini perlu diambil oleh pihak hotel untuk memberikan potongan harga kepada pelanggan yang menginap bagi merancakkan sektor ini.
Setiap tahun kira-kira tujuh juta pelancong dari Singapura datang ke Malaysia. Apakah akan berlaku kepada pelancongan Malaysia sekiranya sempadan negara dibuka sepenuhnya?
Sebenarnya ramai rakyat Singapura yang ingin datang ke Malaysia kerana mereka mempunyai ahli keluarga di sini selain lokasi Malaysia yang dekat dengan republik itu. Mereka suka melancong terutamanya ke Cameron Highlands, Genting Highlands dan tempat-tempat lain. Ini boleh membantu sektor pelancongan kerana Singapura negara terdekat Malaysia.
Kita juga sudah mengenal pasti negara zon hijau berpandukan kriteria ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi membolehkan rakyat kita melawat negara berkenaan dan sebaliknya.
Selain Singapura dan Brunei, negara zon hijau lain ialah Australia, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand. Cumanya apabila mereka baru saja tersenarai dalam negara zon hiiau, mereka pula dilanda gelombang kedua Covid-19.
Dalam menggalakkan sektor pelancongan antarabangsa ada dua faktor utama iaitu pertama, bilakah penerbangan antarabangsa akan dibuka untuk Malaysia dan kedua kuarantin 14 hari sejurus ketibaan itu adakah patut diteruskan atau ditamatkan. Pada pandangan Datuk Seri, bilakah kerajaan harus membuka kepada pelancongan antarabangsa?
Kerajaan sudah pun merancang. Bukan hanya merancang sahaja tetapi kita sudah bercakap dengan negara lain. Kita buka kepada orang lain tetapi jika negara berkenaan enggan benarkan rakyat mereka keluar, maka kita tidak akan menerima pelancong dari luar. Ia memerlukan persetujuan kedua-dua pihak.
Kita bersetuju dan mengenal pasti misalnya Australia sebagai salah sebuah negara zon hijau meskipun mereka masih terjejas akibat gelombang kedua Covid-19. Australia ini sebuah negara besar dan mungkin ada daerah atau kawasan tertentu yang boleh dikunjungi.
Pelancong dari China pula sangat ramai ke Malaysia sebelum ini. Kalau kita boleh buka negara kepada penduduk dari wilayah zon hijau di China, mereka mungkin datang dan menyumbang kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).
Dari segi kuarantin wajib bagi pelancong luar negara, kita boleh tetapkan mereka mesti melakukan saringan lebih awal di negara asal sebelum datang ke mari. Jika sudah menjalani ujian swab di negara sendiri dan ada surat pengesahan negatif Covid-19, maka mereka tidak perlu lagi dikuarantin sebaik tiba di negara ini.
Kita sudah mudahkan urusan mereka tetapi jika mereka tidak lakukan ujian tersebut, kita tidak boleh ambil ringan. Malaysia mesti mematuhi SOP dan memastikan jumlah jangkitan sentiasa terkawal bagi meyakinkan pelancong luar bahawa negara ini selamat untuk dikunjungi.
Sebagai Menteri Pelancongan apakah keyakinan Datuk Seri terhadap sektor ini?
Sebenarnya saya bersyukur kerana pada awalnya apa yang dikhuatiri ialah kita hanya dapat memulakan semula sektor pelancongan pada hujung tahun. Tetapi nampaknya pada bulan Jun, kerajaan telah membuka ruang antara negeri dan hampir semua sektor kini dibenarkan beroperasi. Yang belum dibuka cuma taman tema keluarga.
Rakyat Malaysia sangat positif. Mereka juga tidak tahan dengan hanya duduk di rumah. Tetapi ekosistem juga telah membantu membentuk keyakinan itu, kerana kalau masih banyak kes positif Covid-19, siapa berani keluar rumah?
Kita juga melaksanakan SOP yang ketat. Contohnya, sebelum masuk ke pusat beli-belah perlu ambil suhu badan. Ini mewujudkan keyakinan bahawa tempat yang kita pergi adalah selamat.