PBPBKL/DBKL ringankan beban ahli

Iklan
Mat Zan (barisan tengah, empat dari kiri) bersama sebahagian PBPBKL/DBKL yang menerima bantuan baru-baru ini.

WABAK Covid-19 yang melanda negara turut memberi kesan kepada bekas pemain bola sepak selepas kehilangan sumber pendapatan sekali gus menjejaskan kehidupan seharian mereka.

Menyedari situasi itu, Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kuala Lumpur/DBKL (PBPBKL/DBKL) pantas tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban beberapa orang ahlinya.

Iklan
Iklan

Menurut presidennya, Mat Zan Mat Aris, walaupun sumbangan diberi tidak seberapa namun ia menjadi langkah permulaan untuk PBPBKL/DBKL membela nasib bekas pemain yang pernah menyumbang keringat kepada pasukan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"PBPBKL/DBKL baru saja ditubuhkan bertujuan memayung bekas-bekas pemain KL dan DBKL. Sebagai persatuan baharu, kami masih merangkak namun sudah merangka beberapa perancangan untuk ahli.

Iklan

"Ramai bekas pemain KL dan DBKL yang bukan sahaja terkesan kerana Covid-19 malah memerlukan pembelaan jangka panjang demi kelangsungan hidup mereka. Kebanyakannya melalui kehidupan yang kurang selesa selepas bersara.

"Jadi dengan wujudnya PBPBKL/DBKL, mereka mempunyai sebuah persatuan yang dapat membantu mereka. Sudah pasti kami tidak mampu memberi sumbangan kepada mereka sepanjang masa tapi apa yang mahu kami lakukan adalah membantu mereka mendapatkan peluang melalui bakat dan pengalaman yang mereka miliki.

Iklan

"Contohnya, kami boleh menganjurkan siri klinik bola sepak di peringkat akar umbi dengan menggunakan khidmat ahli kami sebagai tenaga pengajar. Selain membantu bekas pemain, secara tidak langsung kami juga dapat melahirkan bakat-bakat baharu bola sepak untuk pasukan KL dan DBKL,” katanya.

Pada majlis yang berlangsung baru-baru ini, seramai 10 bekas pemain era 1990an hingga terkini menerima sumbangan berupa barang keperluan dapur dan wang tunai.

Mat Zan berharap, usaha PBPBKL/DBKL itu akan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak untuk sama-sama membantu terutama dalam mengumpul dana bagi membolehkan persatuan menggerakkan aktiviti.

"Saya juga berharap lebih ramai bekas pemain yang tampil untuk sama-sama menyumbang kepada persatuan ini dan pada masa sama menggunakan platform yang kami sediakan untuk membela nasib sebahagian daripada mereka,” kata bekas pemain dan jurulatih Kuala Lumpur itu.

Selain diterajui Mat Zan, persatuan itu turut didokong oleh bekas pemain DBKL, Hashim Md Isa sebagai timbalan presiden serta bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah selaku naib presiden dan Kamarul Zaman Yusof sebagai setiausaha merangkap bendahari.