Baling cawan kaca, ugut penguat kuasa DBKL

Iklan
Pemilik kenderaan yang berang dikenakan tindakan saman bertindak membaling cawan kaca dan mengugut penguat kuasa warden lalu lintas DBKL petang semalam.

KUALA LUMPUR - Seorang pemilik kereta bukan sahaja bertindak biadab membaling cawan kaca kepada penguat kuasa warden lalu lintas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) malah turut mengugut anggota berkenaan selepas kenderaannya disaman.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Norhisham Ahmad Dahlan berkata, kejadian berlaku pada jam 5.50 petang semalam ketika anggota penguat kuasa tersebut bertugas berhampiran sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika saman dikeluarkan pada kenderaan jenis Perodua Myvi yang diparkir di tempat tidak sepatutnya itu, anggota penguat kuasa berkenaan terdengar suara seorang lelaki menjerit dari arah restoran tersebut sebelum membaling cawan kaca berisi air kepadanya.

"Anggota penguat kuasa berkenaan sempat mengelak namun kejadian tidak terhenti di situ. Lelaki terbabit kemudian turun dari restoran yang terletak di tingkat atas dan terus mengalihkan keretanya sambil mengeluarkan kata-kata ugutan kepada anggota penguat kuasa tersebut,” katanya.

Iklan

Norhisham berkata, anggota penguat kuasa berkenaan kemudian memaklumkan kejadian kepada penyelianya sebelum mereka berdua kembali bertemu lelaki itu dan bertanya secara baik.

Bagaimanapun berlaku pula bertengkaran mulut antara pemilik kenderaan dan penyelia penguat kuasa berkenaan.

Iklan

"Susulan kejadian itu, anggota penguat kuasa berkenaan membuat laporan di Balai Polis Brickfields.

"Lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis yang tiba di lokasi selepas dihubungi Bilik Gerakan DBKL,” katanya.