Trio serangan MU bakal digeruni

Iklan
Greenwood membuktikan ketajamannya dengan meledak dua gol.

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memuji ketajaman yang dipamerkan jentera serangan pasukannya selepas berjaya menundukkan Bournemouth 5-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, semalam.

Menurutnya, trio serangan yang dibarisi Marcus Rashford, Anthony Martial dan Mason Greenwood menunjukkan banyak peningkatan dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Iklan
Iklan

"Mereka akan menjadi lebih bagus dan kita semua nampak peningkatan yang dipamerkan sepanjang musim ini.

"Marcus (Rashford) sudah tentu ini musim terbaiknya, begitu juga Anthony (Martial). Tetapi mereka masih mampu menjadi lebih baik. Saya tahu perkara tersebut dan kita akan berusaha ke arah itu.

Iklan

"Bagi Mason (Greenwood) pula ini adalah musim pertamanya tetapi telah menunjukkan impak yang besar. Kami sedar dia seorang pemain muda yang berbakat," katanya.

Dalam perlawanan itu, Greenwood meledak dua gol manakala Rashford, Martial dan Bruno Fernandes masing-masing menjaringkan satu gol manakala gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Junior Stanislas dan Joshua King.

Iklan

Trio serangan United telah meledakkan 55 gol musim ini dalam semua kejohanan. Malah, Greenwood telah menjaringkan 15 gol musim ini dan menjadi antara pemain muda mencapai angka tersebut selain Rooney.

Bagaimanapun, Solskjaer tidak mahu terlalu cepat meletakkan perbandingan selepas melihat aksi penuh memukau Greenwood dengan legenda kelab itu seperti Rooney dan Cristiano Ronaldo.

"Saya tidak mahu membandingkan dia dengan Rooney atau Ronaldo. Saya rasa ia tidak adil. Greenwood akan membina kariernya sendiri.

"Kedua-dua mereka (Rooney dan Ronaldo) mempunyai karier yang hebat. Saya percaya jika Greenwood mampu kekal konsisten dan meningkat, dia juga akan mempunyai karier yang bagus," katanya.