MP pembangkang ulangi pendirian tak setuju tukar Speaker, timbalan

Iklan
Tujuh Ahli Parlimen dari blok parti pembangkang mengulangi pendirian tidak bersetuju dengan cadangan penukaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming.

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tujuh Ahli Parlimen dari blok parti pembangkang mengulangi pendirian tidak bersetuju dengan cadangan penukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming pada persidangan Parlimen 13 Julai hadapan.

Menurut mereka, penolakan cadangan itu kerana jawatan tertinggi Dewan Rakyat itu perlu berkecuali dan tidak terkesan dengan pergolakan politik.

Iklan
Iklan

Mereka turut menegaskan kedua-dua pemimpin itu berkhidmat secara profesional dan tidak ada asas kukuh untuk menyingkirkan mereka.

"Sejak pelantikan Tan Sri (Mohammad Ariff) Yang di-Pertua sebagai Speaker Parlimen, pelbagai reformasi dan penambahbaikan Parlimen telah dilancarkan secara konsisten demi memulihkan martabat institusi Parlimen.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: 'Lantik Pengerusi SPR sebagai Speaker satu norma baharu'

Perjelas cadangan Pengerusi SPR sebagai Speaker Parlimen baharu

Iklan

"Langkah-langkah pembaharuan telah diperkenalkan untuk mempertingkatkan kualiti dan memastikan ketelusan prosiding Parlimen.

"Antaranya termasuk menubuhkan enam Jawatankuasa Pilihan Khas iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang, Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender serta mewujudkan Kumpulan-Kumpulan Rentas Parti (All-Party Parliamentary Groups) untuk lebih merakyatkan Parlimen," kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama itu melibatkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah-Hulu Langat), Dr Maszlee Malik (Bersatu-Simpang Renggam), Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang), Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi); Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) dan Baru Bian (PBS-Selangau).

Mereka mengeluarkan kenyataan itu susulan langkah kerajaan Perikatan Nasional telah mengemukakan usul untuk menukar Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat baharu pada saat akhir, 26 Jun lalu.

Nama Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun difahamkan antara pilihan utama kerajaan bagi mengisi jawatan penting Dewan Rakyat itu dengan bekas Menteri Undang-undang kerajaan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Azalina Othman Said dikatakan bakal mengisi salah satu jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Seorang lagi Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang menyokong Perikatan Nasional pula akan dikekalkan.

Tujuh ahli Parlimen blok pembangkang berkenaan turut menegaskan Parlimen merupakan institusi penting sebagai wadah demokrasi dan membawa suara rakyat.

"Ia tidak harus dijadikan medan percaturan politik secara sewenang-wenangnya tanpa sebab munasabah," katanya.