PETALING JAYA - Sunway Lagoon dibuka semula bermula semalam selepas pengurusan taman tema air berkenaan menghentikan operasinya susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini sejak 18 Mac lalu.
Penolong Pengurus Besar Sunway Lagoon, M Magendran berkata, pihaknya telah melakukan persediaan rapi sebelum pembukaan taman tema air berkenaan bagi memastikan setiap pengunjungnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Magendran berkata, kawasan taman tema itu juga akan sentiasa dibersihkan selepas ini malah permainan yang disediakan juga turut dinyah cemar oleh petugas yang sentiasa bersiap sedia dalam menangani penularan wabak berkenaan.
"Sebelum dibuka semula, pekerja kami melaksanakan pelbagai persediaan dengan melakukan langkah keselamatan di Extreme Park, Water Park, Amusement Park, Scream Park dan Nickelodeon Lost Lagoon," katanya ketika sidang akhbar bersempena pembukaan semula taman tema berkenaan.
Mengulas lanjut Magendran berkata, pihak pengurusan juga turut bersetuju untuk membenarkan hanya 50 peratus pengunjung daripada kapasiti sedia ada untuk masuk taman tema itu bagi memastikan semua pihak dapat mematuhi aspek penjarakan sosial ditetapkan.
Beliau berkata, rekod suhu pengunjung juga akan diambil terlebih dahulu dan mereka turut dikehendaki mengisi borang digital yang disediakan sebelum memasuki Sunway Lagoon.
"Pemakaian pelitup muka juga digalakkan sepanjang berada di taman tema ini malah kami turut menyediakan kemudahan cecair pembasmi kuman," katanya.