KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] "Jangan terdesak (hendak mendapatkan kuasa) hingga terpaksa bergantung di dahan rapuh yang kemudian akan menikam kita."
Demikian kenyataan tegas secara berkias dikemukakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakan-rakan parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang kini dilihat lebih cenderung menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menamakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.
Menurutnya, usaha memperkukuhkan parti-parti dalam PH melibatkan DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR harus dimantapkan dengan semangat dalam pakatan yang telah bekerjasama lebih 20 tahun.
"Seperti berlaku sebelum ini, letak jawatan sesuka hati tanpa rujukan kepada sesiapa, kucar-kacir kita, langgar prinsip dan juga manifesto.
ARTIKEL BERKAITAN: Tun M dedah sebab Anwar tak layak jadi calon PM
DAP sokong Dr Mahathir jadi PM, Anwar TPM
"Semangat dalam PH jangan dirungkai. Perkukuhkan PH. DAP, Amanah dan PKR harus mantap. Tak boleh lagi biarkan seolah-olah kita ini terdedah, masih lagi menyerah tengkok (leher) kita, diheret ke sana ke sini, pecah belah, gaduh, kemudian ikut suka nak calon siapa (jadi Perdana Menteri), bagi pandangan begitu begini...," katanya melalui sesi siaran langsung di laman Facebook Pakatan Harapan malam tadi.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang turut menegaskan perbezaan pendapat antara parti-parti dalam PH berhubung isu calon Perdana Menteri mewakili pakatan itu tidak menyebabkan gabungan mereka terjejas.
Beliau turut menggesa sebarang usaha 'tegur-menegur' dan 'serang-menyerang' di peringkat akar umbi dihentikan ia mengganggu pendirian parti-parti dalam PH.
"Saya ingin jelaskan dalam mesyuarat PH dari awal, bukan sahaja wakil PKR tetapi juga Amanah dan DAP tidak pernah pertikai mandat rakyat 2018 dan janji peralihan kuasa hanya kerana berlaku perbezaan pendapat tentang soal calon Perdana Menteri.
"Ini tidak harus dijadikan isu untuk jejaskan hubungan, walaupun di peringkat bawah kadang-kadang ada sedikit tegur menegur dan serang-menyerang.
"Saya harap ia dihentikan kerana ini mengganggu pendirian kita dalam PH," katanya.
Anwar turut menegaskan PH tidak boleh menerima masuk mana-mana pemimpin berfikiran lapuk, jumud dan kepompong lama dalam gerakan reformasi dibawa pakatan itu.
"Kalau kita terus bersekongkol kerana hanya hendak berpaut kepada kuasa, kita nampaknya telah meninggalkan prinsip dan landasan ini semata-mata kerana kita rasa tidak ada pilihan.
"Kita tidak akan hidup tanpa kuasa. Kita sudah hidup berjuang tanpa kuasa. Kita harus ada keyakinan untuk pastikan program ekonomi yang lebih inklusif," katanya.