MELAKA - Lebih 10 kakitangan yang berada di dalam pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Melaka Tengah di Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini terkejut apabila ular sawa batik berukuran kira-kira satu meter panjang muncul secara tiba-tiba pada bahagian siling lampu, pejabat itu.
Difahamkan kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi tadi itu, mengakibatkan beberapa kakitangan wanita bertempiaran lari ekoran kemunculan reptilia berkenaan.
Menurut sumber, besar kemungkinan ular berkenaan telah masuk menerusi saluran alat pendingin udara ruang pejabat berkenaan sebelum muncul pada siling lampu.
"Tidak dapat dipastikan bagaimana ular itu oleh berada di situ, tetapi kakitangan mendakwa ia mungkin masuk mengikut saluran alat pendingin udara.
"Keadaan itu telah menyebabkan beberapa kakitangan wanita yang berada di situ menjerit ketakutan dan berlari keluar," kata sumber itu.
Pengarah JKM negeri, Burhanuddin Bachik ketika dihubungi memaklumkan kedudukan bangunan pejabat berkenaan yang hampir dengan kawasan hutan menjadi faktor kemunculan reptilia berkenaan.
"Ular berkenaan berjaya dialihkan oleh anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat setelah dihubungi salah seorang kakitangan JKM.
"Sebelum ini beberapa kali pejabat berkenaan didatangi haiwan berkenaan sehinggakan kami terpaksa mendapatkan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) atau Bomba," katanya.