Keistimewaan kopi tradisional Pak Mat

Iklan
Mohd Sabiah menumbuk biji kopi menggunakan lesung hindik sebelum dikisar menggunakan mesin pengisar sehingga menjadi serbuk di Kampung Belantik Dalam, Sik. - Foto Bernama

SIK - Suasana nyaman dan tenteram dengan pohon-pohon getah serta aliran anak sungai menghiasi persekitaran sebuah rumah yang agak berusia di Kampung Belantik Dalam di sini.

Di satu sudut rumah itu, kelihatan seorang warga emas sedang duduk sambil menggoreng biji kopi menggunakan dapur kayu sekali gus menghasilkan aroma segar yang dapat dihidu di seluruh kawasan kediaman itu.

Iklan
Iklan

Warga emas itu, Mohd Sabiah Kadir, 69, ialah pengusaha kopi tradisional yang telah menjalankan perniagaan itu bersama isteri, Kaedah Ahmad, 65, sejak kira-kira 40 tahun dahulu.

"Biji kopi yang dibersihkan perlu digoreng sehingga masak dan kehitaman, selepas itu ia akan dihancurkan sebelum dikisar dan menjadi serbuk kopi.

Iklan

"Istimewanya kopi saya ini adalah kerana menggunakan kaedah tradisional seperti menggoreng menggunakan dapur kayu dan menghancurkan biji kopi menggunakan lesung hindik,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

Mohd Sabiah yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Mat dalam kalangan penduduk kampung berkata, walaupun menggunakan kaedah tradisional, semua proses perlu dijalankan secara berhati-hati bagi menjaga kualiti dan rasa kopi.

Iklan

"Hanya dua jenis biji kopi sahaja digunakan untuk menghasilkan serbuk kopi iaitu Robusta dan Liberica yang kedua-duanya diimport dari Indonesia.

Mohd Sabiah menunjukkan lesung hindik yang berusia kira-kira 40 tahun digunakan sehingga hari ini bagi menghasilkan serbuk kopi. - Foto Bernama

"Selain itu, kami tidak mencampurkan banyak bahan-bahan lain ketika memasak biji kopi, kami menggunakan biji kopi asli dan gula sahaja, itu yang membuatkan rasa kopi lebih asli,” katanya.

Menurutnya, sejak mula diusahakan secara kecil-kecilan pada 1981, serbuk kopinya mendapat permintaan yang amat baik dan kini hampir 200kg serbuk kopi dihasilkan setiap bulan untuk memenuhi permintaan.

"Bagi penduduk kampung di sini depa (mereka) lebih mengenali kopi saya sebagai Kopi Pak Mat, manakala kalau pelanggan dari luar depa (mereka) panggilnya kopi hindik.

"Alhamdulillah, produk kami ini banyak orang kampung yang tolong promosikan kepada kawan-kawan atau ahli keluarga di luar negeri atau daerah lain, selain itu ada juga agensi kerajaan dan swasta mai (datang) membeli dan membantu mempromosikan kopi saya ini,” katanya.

Mohd Sabiah berkata, permintaan yang diterima semakin meningkat, namun dia dan isteri tidak mampu memenuhi semuanya disebabkan faktor usia.

"Saya dan isteri tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan untuk kuantiti yang banyak, hanya 5kg sehari atau dua hari dalam anggaran 30 bungkusan kopi.

"Kami tidak mengupah pekerja kerana tidak ada generasi muda yang berminat nak kerja ini, anak-anak kami pun apabila dapat kerja tetap tidak lagi berminat menyambung perniagaan kami ini,” katanya. - Bernama