Warga emas rogol anak lembam, anak tiri dicekup

Iklan
Noorzainy

BUTTERWORTH- Sikap seorang kanak-kanak berstatus orang kurang upaya (OKU) yang suka bercakap seorang diri selain suka berkurung di dalam bilik membongkar perbuatan terkutuk bapanya yang merogolnya sejak tahun lalu.

Mangsa yang buta sebelah matanya dan lembam berusia 11 tahun itu dirogol bapanya sendiri di rumah mereka di Taman Desa Ara, Tasek Gelugor di sini.

Iklan
Iklan

Selain mangsa, kakak tirinya yang berusia 17 tahun turut dirogol suspek sejak 2017 di lokasi sama.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pelakuan terkutuk suspek berusia 65 tahun itu terbongkar selepas ibu mangsa dipanggil ke sekolah untuk membincangkan masalah anak istimewanya itu pada 2 Julai lalu.

Iklan

Menurutnya, pada mulanya ibu mangsa yang berusia 47 tahun itu tidak mempercayai kejadian yang menimpa anaknya kerana menyangka mangsa mengalami tekanan perasaan.

"Ibu mangsa pernah membawa mangsa ke Bahagian Psikiatrik Hospital Bukit Mertajam kerana dia sering bercakap seorang diri, suka menyendiri dan berkurung dalam bilik. Bagaimanapun, perkara sebenar terbongkar apabila mangsa menceritakan semua perihal keluarganya kepada guru dan mengakui suspek telah mengganggunya.

Iklan

"Bimbang perkara sama berlaku ke atas anak perempuannya hasil daripada perkahwinan terdahulu, ibu mangsa telah bertanya kepada anaknya itu dan mangsa mengakui telah dirogol bapa tirinya sejak berusia 14 tahun. Mangsa mengakui kali terakhir dia dirogol pada 11 pagi, 10 Jun lalu," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, ibu mangsa terus membuat laporan polis berhubung perkara itu pada hari sama.

Noorzainy berkata, mangsa diugut akan dipukul sekiranya menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya.

"Suspek akan merogol kedua-dua mangsa ketika isterinya tiada di rumah kerana keluar bekerja sebagai tukang cuci di sebuah syarikat di Bertam, Kepala Batas. Mangsa juga mengakui, bapa tirinya akan merogolnya setiap dua minggu sekali atau sebulan sekali.

"Kejadian pertama berlaku di rumah sewa lama yang didiami keluarga berkenaan di Taman Seri Desa, Tasek Gelugor dan ia berlarutan sehingga mereka berpindah ke kediaman sekarang," katanya.

Jelasnya, suspek yang juga pesara kerajaan ditahan di Alor Setar, Kedah pada jam 2 petang, 3 Julai lalu.

"Suspek mengakui melakukan sumbang mahram ke atas anak kandung dan anak tirinya sejak beberapa tahun lalu.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu. Bagaimanapun, suspek tiada rekod jenayah lampau," katanya.

Noorzainy berkata, suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram.