JSPT Johor laksana 104 operasi banteras kemalangan jalan raya

Iklan
Pemeriksaan terhadap sebuah lori dalam Ops Perdagangan yang dilakukan pihak JSPT Johor di seluruh negeri.

JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor melaksanakan 104 operasi di seluruh negeri dan menahan 159 individu sejak awal Januari hingga bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Ops Perdagangan, Ops Mabuk dan Ops Samseng Jalanan itu adalah satu usaha dalam menangani kadar kemalangan jalan raya yang meningkat ketika ini.

Iklan
Iklan

Katanya, menerusi Ops Perdagangan yang dilakukan sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 22 operasi dilakukan melibatkan pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan dan kormersial seperti lori, bas dan teksi.

"Pihak JSPT Johor melakukan sebanyak 528 pemeriksaan kenderaan, 39 lori ditimbang dan 27 lori didapati lebih muatan dan dua kenderaan disita.

Iklan

"Seramai 569 individu diperiksa, 27 menjalani ujian air kencing dengan seorang daripadanya positif dan dua ditangkap kerana terlibat dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau memberitahu, antara kesalahan dilakukan membawa muatan lebih had dan secara berbahaya; menggunakan tayar celup, tiruan selain sudah botak; tiada penyelenggaraan berkala serta memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

Iklan

Katanya, sepanjang enam bulan pertama itu juga sebanyak 2,417 kes kemalangan dicatatkan dengan tiga kemalangan maut.

Menurutnya, sebanyak 56 Ops Mabuk dilakukan dan pihaknya melakukan 99 tangkapan melibatkan pelbagai bangsa yang memandu di bawah pengaruh alkohol berusia 17 hingga 64 tahun.

Sementara Ops Samseng Jalanan pula katanya, 26 operasi dilakukan dan 60 individu pelbagai bangsa ditangkap berusia dari 15 hingga 26 tahun.

Ayob Khan berkata, polis Johor akan terus melakukan operasi-operasi tersebut bukan sekadar bermusim atau hanya selepas kejadian tertentu berlaku sebaliknya akan diadakan secara berterusan.