KOTA TINGGI - Tiga buah rumah dan 10 buah kereta yang diletakkan di tempat parkir musnah dalam satu kebakaran di Jalan Tembioh, Kampung Sri Lalang di sini hari ini.
Dalam kejadian pada jam 7.10 pagi itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku kerana semua penghuni sempat menyelamatkan diri.
Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dan BBP Johor Jaya dengan dua jentera Fire Rescue Team (FRT), dua jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), satu Fire Rescue Vehicle (FRV) dan satu Utiliti Toyota Hilux dikejarkan ke tempat kejadian.
Komander Operasinya, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azman Jantan berkata, setiba di lokasi, kebakaran sudah merebak dan membakar beberapa kenderaan di depan rumah.
"Kebakaran melibatkan tiga buah rumah dua tingkat jenis separuh kekal yang berkeluasan 30x80x40 kaki. Kebakaran turut melibatkan 10 buah kenderaan iaitu Proton Wira; Honda EK3; Volvo; Proton Perdana V6; Honda FD; Toyota Hiace; Ford Econovan; Proton Wira; Toyota Hiaca dan motosikal Suzuki GSX," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kebakaran dapat dikawal pada kira-kira jam 12 tengah hari dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.