Ruang demokrasi semakin kecil

Iklan
Gambar hiasan -Foto 123rf

BARU-baru ini, media melaporkan bahawa seorang pesara dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di laman Facebooknya.

Pesara tersebut telah dituduh di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Berdasarkan fakta kes, seorang pengadu yang berada di Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia telah melayari internet dan terlihat satu komen yang dimuat naik oleh tertuduh berkaitan Menteri Kesihatan dan pengadu membuat laporan polis.

Iklan
Iklan

Baru-baru ini juga, satu prosiding hina mahkamah telah dimulakan terhadap Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya, Steven Gan atas beberapa komen atas talian yang dibuat oleh pelawat laman sesawang portal berita tersebut.

Prosiding tersebut telah dibawa oleh Peguam Negara dan Mahkamah telah pun memberi kebenaran supaya prosiding tersebut dimulakan. Permohonan untuk mengetepikan prosiding tersebut juga telah ditolak.

Iklan

Di samping itu, beberapa orang ahli Parlimen pembangkang juga telah disiasat polis atas kenyataan mereka mengkritik kerajaan Perikatan Nasional. Ini termasuklah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang telah disoal siasat polis kerana satu wawancara dengan stesen televisyen al-Jazeera, di mana ahli Parlimen tersebut telah mengkritik Perdana Menteri dan kerajaan PH selepas Langkah Sheraton.

Nampaknya ruang demokrasi makin mengecil di bawah kerajaan yang sedia ada. Selepas 100 hari, kebebasan mengkritik yang dinikmati rakyat sebelum ini sudah dikekang semula.

Iklan

Setakat ini, kerajaan masih belum menyatakan pendirian mereka berkenaan kebebasan asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Mereka tidak mempunyai manifesto, maka rakyat tidak mempunyai kayu ukur untuk mengetahui pendirian kerajaan ini terhadap beberapa isu kebebasan asasi, termasuklah kebebasan bersuara. Adakah mereka komited terhadap agenda reformasi dalam hal ini termasuklah memansuhkan atau meminda undang-undang yang mengekang kebebasan rakyat? Setakat ini, kita tidak jawapannya. Tetapi berdasarkan tindakan aparatus kerajaan setakat ini, boleh dijangkakan bahawa kerajaan ini tidak meletakkan hak rakyat untuk bebas bersuara sebagai prioriti.

Harus diingat, kebebasan untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat adalah hak yang dijamin oleh undang-undang tertinggi negara yakni Perlembagaan Persekutuan. Hak ini tidak boleh sewenang-wenangnya dinafikan atau disekat oleh mana-mana kerajaan, apatah lagi untuk menghalang kritikan terhadap penguasa dan pemerintah.

Kebebasan untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat ini bukanlah ‘agenda barat’ tetapi sememangnya termaktub dalam kerangka dan tunjang negara kita. Rakyat berhak mengkritik pemimpin, dan walaupun kritikan itu jelik atau tidak menyenangkan ia tetap tidak mewajarkan campur tangan undang-undang.

Walaupun kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini tidak sempurna tetapi mereka memberikan ruang yang luas kepada rakyat dan pembangkang untuk mengkritik mereka. Selepas bertahun-tahun dikekang dek pemerintah, semasa zaman PH ruang demokrasi telah dibuka dengan luas berbanding sebelum ini.

Malangnya, sudah ada tanda-tanda bahawa ruang ini semakin menguncup. Kita makin kembali ke zaman tiada toleransi terhadap tentangan dan aparatus daulah digunakan untuk membungkam mulut rakyat.

*Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur