SHAH ALAM - Kutipan sumbangan awam bagi membeli alat pengimbas haba untuk kegunaan sekolah seperti yang dicadangkan pelbagai pihak boleh dikembangkan lagi dengan disalurkan kepada masjid dan surau pula.
Presiden Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahaya berkata, alat tersebut boleh membantu pihak pengurusan masjid melaksanakan tugas bagi melancarkan perjalanan kehadiran jemaah di masjid lebih-lebih lagi pada hari Jumaat.
"Kalau kita lihat pada masa ini setiap jemaah yang dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat di masjid atau surau perlu beratur panjang untuk mengambil suhu di pintu masuk.
"Dalam keadaan cuaca panas tengah hari, saya fikir golongan berusia terpaksa berdiri dan menunggu lama yang menyebabkan mereka mengalami kepenatan.
"Jika masjid mempunyai pengimbas suhu yang lebih canggih ini, ia akan mempercepatkan proses mengambil suhu dan bacaan yang diambil lebih tepat," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Aminuddin turut mencadangkan kepada kerajaan supaya memberi pengecualian cukai kepada orang ramai dan syarikat korporat memberikan sumbangan tersebut sebagai galakan.
"Sumbangan alat pengimbas haba ini bukan satu pembaziran kerana ia akan digunakan sepanjang masa. Ini kerana penularan Covid-19 masih belum berakhir.
"Jika selepas ini kerajaan telah membenarkan masjid digunakan sepenuhnya, alat itu lebih diperlukan untuk mengambil suhu jemaah yang ramai ketika masuk ke masjid," katanya.