Tak menang tangan jual arang tradisional

Iklan
Sukry bersama sebahagian daripada arang yang telah siap dibungkus.

HULU TERENGGANU - Siapa sangka bermula dengan membuat arang daripada bahan terbuang secara kecil-kecilan, seorang bapa kepada empat anak kini tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.

Sukry Abdullah, 57, dari Kampung Kuala Menjing di sini memulakan perusahaan arang tradisional pada tahun 2017.

Iklan
Iklan

Menurutnya, idea membuat arang itu adalah secara spontan setelah melihat banyak kayu yang terbuang di sekitar kampungnya.

"Saya tiada asas membuat arang, jadi saya cuba membuatnya berkali-kali sehingga menjadi arang sempurna sebelum dijual kepada penduduk sekitar.

Iklan

"Peringkat permulaan, saya menjaja arang ini dengan lori kerana masih belum ada pasaran tapi syukur kerana kini sudah tidak perlu menjaja lagi, sebaliknya orang datang ke perusahaan saya di Kampung Kuala Menjing bagi mendapatkan bekalan.

"Kebanyakan pelanggan saya dari sekitar Hulu Terengganu dan mempunyai pelanggan tetap yang terdiri daripada peniaga pasar malam dan pengusaha ikan dan ayam bakar serta restoran," katanya ketika ditemui di perusahaannya di sini hari ini.

Iklan
Sukry (kanan) menunjukkan arang tradisional yang dihasilkannya kepada Rosol.

Sukry berkata, bekalan kayu untuk menghasilkan arang ini diperoleh daripada pekebun di sekitar kampung.

Katanya, kayu yang paling baik untuk menghasilkan arang yang berkualiti ialah kayu pokok halban dan pokok rambutan.

"Saya mengambil masa dua minggu untuk memproses 2.5 tan kayu untuk dijadikan arang tradisional sambil dibantu anak, Mohd Zakuan, 29, dan Lokman Nurhakim, 21.

"Arang yang siap kemudiannya dibungkus dalam guni seberat 1.5 kilogram dan 14 kilogram," katanya.

Menurutnya, adalah menjadi impiannya untuk mengembangkan perniagaan namun berdepan kekangan kerana tempat pembakaran dan pemprosesan arangnya yang kecil.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu yang melakukan lawatan ke perusahaan itu kagum melihat kejayaan dan usaha yang dilakukan Sukry.

"Ia menunjukkan masyarakat kita kreatif dan pandai menggunakan peluang yang ada untuk menjana pendapatan.

"Kita akan mempertimbangkan bantuan kepada Sukry supaya dia boleh menambah baik perusahaannya," katanya.