KUALA LUMPUR - Sebanyak 53 motosikal dan lapan kereta yang diletak di kawasan parkir blok 41, Projek Perumahan Rakyat Gombak Setia, di sini terbakar hari ini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Zaid Zainal berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 5.05 pagi.
"Seramai 24 anggota dan pegawai dengan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, Gombak Selatan dan Setapak bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi, kita mendapati api sangat marak,” katanya melalui kenyataan media hari ini.
Zaid berkata, kebakaran melibatkan hampir 100 peratus bagi 53 motosikal manakala lapan kereta pula terbakar 60 hingga 80 peratus.
"Kebakaran telah berjaya dikawal oleh anggota bomba pada jam 5.25 dan padam sepenuhnya pada jam 5.47. Kebakaran tiada melibatkan mangsa dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.