RAWANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat memperuntukkan RM15, 000 bagi pemberian termometer suhu dan cecair pembasmi kuman percuma di kawasannya.
Wei Kiat berkata, ia melibatkan pembelian termometer automatik yang boleh dilekat di dinding berharga sekitar RM500 seunit manakala termometer manual dan cecair basmi kuman berharga RM200.
Menurutnya, setakat ini sebanyak enam sekolah antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Garing, SMK Tuanku Abdul Rahman Batu Arang, SMK Tun Perak dan SMK Taman Desa 1 menerima bantuan itu sejak awal bulan ini.
"Menyusul sebanyak lapan sekolah dan empat masjid akan diagihkan peralatan itu sebaik tempahan yang diterima sampai kepada kita.
"Saya berharap melalui bantuan ini dapat memudahkan pihak sekolah dan guru-guru mengawal pelajar pada sesi persekolahan yang akan dibuka pada15 Julai dan 22 Julai ini," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Katanya, agihan ini merangkumi kawasan awam yang melibatkan pengunjung yang ramai bagi meningkatkan pematuhan garis panduan ditetapkan.
"Saya lihat ini adalah cara terbaik untuk orang awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan mengurangkan risiko jangkitan.
"Untuk permulaan ini, setiap sekolah dan masjid diagihkan dengan satu unit termometer manual dan automatik serta pembasmi kuman. Jumlahnya akan ditambah bergantung kepada kemampuan kewangan," katanya.
Lapan sekolah yang tersenarai bakal menerima peralatan tersebut adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) San Yuk, SJKC Chap Khuan dan SJCK Kota Emerald serta SJKT Rawang.
Bagi kategori Sekolah Kebangsaan (SK) pula adalah SK Bukit Rawang Jaya, SK Sinaran Budi, SK Taman Tun Teja serta SK Taman Desa sementara masjid adalah Masjid Nurul Iman, Masjid Taman Tun Teja, Masjid Cahaya Iman dan Masjid Jamek Batu Arang.