SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini memutuskan untuk menolak usul Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggugurkan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusuf sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Keputusan itu dibuat sebulat suara pada mesyuarat Majlis Presiden PH oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
Menurut mereka, Majlis Presiden konsisten dengan pendirian bahawa fokus kerajaan Persekutuan dan negeri untuk membantu rakyat pasca penularan wabak koronavirus 2019 (Covid-19).
"Justeru, kami berpandangan sekiranya berlaku pilihan raya umum tergempar sebelum tamat tempoh lima tahun, maka kerajaan negeri yang ditadbir PH sewajarnya diteruskan dan tidak dibubarkan," kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Terdahulu Majlis Presiden PH mengadakan mesyuarat itu bagi membincangkan beberapa perkara penting dan isu semasa menjelang sidang Parlimen akan datang.
Dalam pada itu, Majlis Presiden juga membincangkan usaha mengembalikan mandat rakyat dan PH sebagai kerajaan Persekutuan.
Menurut mereka, PH komited dengan pendirian asal bahawa Anwar sebagai calon Perdana Menteri dan turut membincangkan cadangan pencalonan Presiden Parti Warisan Sabah (Sabah), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.
"Majlis Presiden berpendirian semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak.
"Oleh yang demikian, Majlis Presiden memberikan mandat penuh kepada Anwar untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk Mohd Shafie bagi menyempurnakan pengembalian mandat tersebut," kata mereka.