Ubah jajaran ECRL lambatkan pelaksanaan projek

Iklan
Aminuddin (tiga dari kiri) melihat sumbangan yang diberi MBM dengan kerjasama MyFundAction di Seremban.

SEREMBAN - Cadangan mengubah dan mengembalikan semula jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengikut pelan asal ketika kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) hanya akan melambatkan proses pelaksanaannya.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perubahan jajaran berkenaan yang diputuskan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) bertujuan mengurangkan kos pembinaan projek mega itu.

Iklan
Iklan

"Jika diubah jajaran ini kepada jajaran asal, ia akan mewujudkan lagi perbincangan yang mungkin akan menyebabkan projek ini lambat untuk disiapkan.

"Kita harap kerajaan Persekutuan tegas kerana perubahan jajaran yang diputuskan oleh kerajaan PH pada waktu itu adalah yang terbaik bertujuan mengurangkan kos," katanya pada sidang akhbar di kediaman rasminya di sini.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah portal berita perniagaan yang menyebut Putrajaya sedang membincangkan kemungkinan mengembalikan jajaran projek ECRL kepada cadangan pertama di bawah kerajaan BN.

Mengikut jajaran asal, ECRL akan melalui Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menuju ke Selangor melalui Gombak dan ke Serendah serta Pelabuhan Klang namun ia telah diubah oleh kerajaan PH apabila ia tidak akan melalui Bentong dan Gombak.

Iklan

Sebaliknya, laluan tersebut menuju selatan melalui Mentakab ke Kuala Klawang di Negeri Sembilan sebelum memasuki Selangor melalui Bangi/Kajang dan kemudian menuju ke Putrajaya Sentral dan akhirnya ke Pelabuhan Klang.

Mengulas lanjut Aminuddin berkata, walaupun laluan jajaran ECRL yang dicadangkan kerajaan PH lebih panjang tetapi lebih menjimatkan dan menguntungkan rakyat.

"Jika ikut jajaran asal, Negeri Sembilan tidak terlibat dan ia tidak lalu banyak tempat. Bagi saya ia kurang memberi impak kepada ekonomi.

"Jadi kerajaan negeri sangat mengalu-alukan projek ini dapat diteruskan di negeri ini yang saya percaya dapat beri faedah lebih besar," katanya.

Aminuddin berkata, pihaknya akan membuat rayuan kepada kerajaan Persekutuan jika jajaran itu diubah.

Terdahulu beliau menerima kunjungan dan sumbangan barangan keperluan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama MyFundAction untuk disampaikan kepada golongan memerlukan di Negeri Sembilan.