ALOR SETAR - Harley Owner's Group (HOG) Petaling Jaya Chapter sanggup konvoi sejauh 1,500 kilometer (km) demi menyatakan penghargaan terhadap frontliner yang bertungkus lumus mengekang wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.
Pengarah HOG Petaling Jaya Chapter, Aznul Shahrudin berkata, idea berkenaan tercetus secara tiba-tiba ketika mereka berbual sebelum ini.
Iklan
Iklan
Menurutnya, mereka mengambil masa dua minggu melakukan perancangan dan membuat tempahan sebelum memulakan konvoi motosikal lima hari empat malam sejak Sabtu lalu.
"Sejak tiga hari lalu, kami seramai 53 penunggang motosikal Harley Davidson Petaling Jaya Chapter memulakan perjalanan dari Petaling Jaya ke Kuantan sebelum ke Kota Bahru.
"Pada hari ini, hari ketiga konvoi, kami singgah ke Kota Setar sebelum merancang singgah ke Ipoh dan balik semula ke Petaling Jaya," katanya ketika ditemui sewaktu konvoi motosikal Harley Davidson Petaling Jaya Chapter di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, hari ini.
Katanya, mereka singgah di beberapa balai polis sepanjang perjalanan demi menyatakan sokongan dan menzahirkan penghargaan kepada barisan frontliner yang bekerja keras untuk membendung wabak tersebut.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah, Senior Asisten Komisioner Che Zamani Che Awang berkata, pihaknya menyambut baik usaha amal dilakukan HOG Petaling Jaya Chapter yang melakukan konvoi 1,500 demi menyuntik semangat kepada frontliner seperti polis.