SHAH ALAM - Persatuan Alumni Seri Pekan sudah berbincang dalam kalangan ahli mereka untuk mengumpul wang bagi menyumbang pengimbas haba bagi kegunaan sekolah mereka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan di Pekan, Pahang.
Presidennya, Zarim Miswan berkata, rata-rata ahli menyambut baik cadangan tersebut yang dilihat membantu melancarkan sesi persekolahan serta memudahkan tugas pihak sekolah.
"Memang kita sebelum ini ada berbincang untuk menyumbangkan termometer digital kepada sekolah tetapi ia sudah ada. Namun cadangan untuk membeli dan menyumbang alat pengimbas haba kepada sekolah amat baik.
"Kita harap ahli persatuan dapat bersama-sama berganding bahu memberikan sumbangan semampu untuk pelajar-pelajar di sekolah itu," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Zarim yang juga guru di sekolah terbabit berkata, terdapat kira-kira 500 ahli alumni yang aktif pada masa ini.
"Fokus kita memang untuk membantu sekolah mengikut keperluan dan kemampuan yang banyak digerakkan oleh Koordinator Alumni Seri Pekan, Mohd Heikal Hafiz Anuar.
"Dalam perbincangan kami juga memang ada yang berpendapat alat tersebut mahal dan ada yang menyatakan di mana mahu mendapatkan alat pengimbas haba itu pada kadar berpatutan.
"Itu antara perkara yang dibincangkan dan saya fikir atas rasa tanggungjawab alumni kepada sekolah, insya-ALLAH kita dapat jayakan," katanya.
Menurutnya, sumbangan alat tersebut kepada sekolah juga boleh digunakan bagi tempoh jangka masa panjang kerana penularan Covid-19 di negara ini belum berakhir.
"Kita tidak tahu apa yang bakal pada masa depan tetapi sekurang-kurangnya alat tersebut boleh digunakan pada masa depan bagi memudahkan dan mendapatkan bacaan suhu lebih tepat," katanya.