Potongan cukai langkah wajar

Iklan
Tan Sri Lee Lam Thye -Foto Bernama

SHAH ALAM - Kemudahan pemotongan cukai pendapatan yang diberikan Kementerian Kewangan kepada mana-mana alumni dan pihak yang menyumbang kepada pembelian alat pengimbas haba bagi kegunaan sekolah-sekolah di Malaysia dilihat sebagai satu langkah tepat dan wajar.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kemudahan itu secara tidak langsung bukan sahaja dapat menggalakkan alumni atau individu bahkan juga syarikat-syarikat korporat untuk mengaktifkan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagaimana sedia maklum dalam keadaan iklim ekonomi ketika negara berdepan pandemik Covid-19 banyak syarikat-syarikat swasta turut menghentikan program-program CSR bagi mengawal kewangan mereka.

"Bagaimanapun saya lihat dengan kemudahan pemotongan cukai pendapatan ini ia mampu mengaktifkan semula program-program CSR sekali gus menggalakkan lebih banyak syarikat untuk tampil bersama-sama membantu kerajaan menangani penularan Covid-19 ini.

Iklan

"Perkara ini seharusnya diperjelaskan lebih awal kerana ada banyak syarikat yang ingin menghulurkan bantuan namun bimbang sekiranya mereka tidak dapat pengecualian cukai. Saya yakin syarikat-syarikat swasta akan kembali terlibat dalam membantu mereka yang memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mengulas lanjut, Lam Thye yang juga aktivis sosial itu turut menyifatkan ia sebagai langkah positif ke arah untuk menggalakkan lebih banyak syarikat menghulurkan sumbangan.

Iklan

Beliau turut berharap agar ada syarikat-syarikat korporat tampil untuk membantu menyalurkan alat pengimbas haba menjelang sesi persekolahan yang akan dibuka sepenuhnya bermula 15 Julai depan.

"Alat pengimbas haba ini sememangnya amat diperlukan bagi memenuhi keperluan lebih 5 juta pelajar yang akan kembali semula ke sekolah di seluruh negara.

"Malah bukan itu sahaja, mereka juga memerlukan topeng muka dan hand sanitizer selain memastikan penjarakkan sosial. Jadi bantuan daripada pihak swasta sangat-sangat diperlukan,” katanya.