Parlimen Digital: KPN gesa individu ditindas tampil

Iklan
Abdul Hamid Bador - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menggesa individu yang berasa terancam dan ditindas polis diminta tampil ke hadapan susulan dakwaan beberapa peserta Parlimen Digital dipanggil memberi keterangan tanpa dinasihat peguam.

Menurutnya, dakwaan tersebut sama sekali tidak benar.

Iklan
Iklan

"Sesiapa yang rasa diri mereka ditindas sila tampil ke hadapan. Saya juga nak tahu polis mana yang memanggil," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati pihaknya belum memanggil mana-mana individu berhubung perkara itu.

Iklan

"Saya sudah semak, tidak ada pihak saya memanggil mereka. Tapi saya mintak kerjasama sesiapa yang buat aduan, dia perlu tampil ke depan, jangan bimbang kita akan ambil tindakan yang seadilnya," katanya.

Abdul Hamid berkata, tiada unsur jenayah dalam sidang Parlimen Digital yang dianjurkan oleh tiga organisasi belia itu.

Iklan

"Jenayah? Tidak ada tindakan jenayah yang dibuat, saya menghormati kebebasan untuk bersuara.

Ini jaminan saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pelancaran Hari Banci Malaysia di sini hari ini.

Pada perkembangan sama, beliau memberi amaran kepada mana-mana individu termasuk ahli politik agar bertanggungjawab ketika membuat kenyataan umum.

"Saya minta ahli politik agar bertangungjawab dan sesiapa juga yang nak keluarkan kenyataan ingatlah tentang batasan undang-undang," katanya.

Menurutnya, kenyataan umum yang dibuat boleh mengundang perasaan marah ataupun terhina terhadap seseorang.

"Apabila rasa marah dan terhina, dia akan buat laporan polis," katanya.

Beliau berkata, polis sedia terbeban dengan pelbagai kes seperti menangani ancaman dan lambakan pendatang tanpa izin, dadah, pemandu mabuk dan sebagainya.

"Saya tidak mahu buang masa kerana ia isu remeh-temeh dan polis juga sibuk memberikan fokus terhadap isu itu," katanya.

Sebelum ini, tiga penganjur Parlimen Digital, Challenger Malaysia, Undi18 dan Liga Demokratik Malaysia mendakwa beberapa peserta sidang itu telah dipanggil ke balai polis untuk disoal siasat tanpa nasihat peguam manakala ada juga yang diundang untuk perbincangan secara santai.