Sultan Muhammad V, raja yang bersahaja

Iklan
Sultan Muhammad V

KUALA LUMPUR - Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, merupakan seorang raja yang bersahaja tanpa terikat dengan protokol apabila mendampingi rakyat.

Tempoh dua tahun memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 sejak 13 Disember 2016, ternyata meninggalkan kesan di hati rakyat sebagai raja berjiwa rakyat, berhemah, rendah diri dan pandai berjenaka.

Iklan
Iklan

Sultan Muhammad V menamatkan pemerintahan apabila meletak jawatan pada 6 Januari lepas.

Sikap baginda yang bersahaja walaupun bergelar Yang di-Pertuan Agong malah beberapa tindakan spontan baginda semasa menjalankan tugas rasmi seperti titah baginda"sila duduk jangan lari” menjadi ungkapan dan ingatan popular dalam kalangan rakyat.

Iklan

Sultan Muhammad V yang diputerakan pada tanggal 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan dididik dari kecil dengan nilai-nilai pekerti serta tingkah laku yang berasaskan kepada ajaran agama Islam dan ilmu keduniaan yang luas.

Seorang raja yang tidak terlalu berprotokol dan sering mengenakan pakaian jubah, baginda amat mengambil perhatian dalam hal ehwal agama dan kebajikan rakyat jelata terutama yang menyentuh bidang kuasa baginda sendiri.

Iklan

Antara program yang diadakan hasil ilham baginda adalah program 'Qiam With Me' dan Walkathon Diraja yang bermula sejak 2011 di Kelantan.

Ketika Hari Raya Haji yang menyaksikan umat Islam menunaikan ibadah korban, Sultan Muhammad V turut terlibat menyembelih haiwan korban – suatu yang amat jarang dilakukan sendiri oleh seorang raja.

Sifat cakna baginda terhadap kebajikan rakyat terserlah antaranya ketika bencana banjir besar melanda Kelantan pada 2014, dengan baginda turun sendiri ke lokasi kejadian dan melawat rakyat di pusat-pusat pemindahan.

Mewujudkan suasana mesra dan rakyat tidak kekok, baginda sering membahasakan diri baginda sebagai 'kita' dan lemah lembut dalam pertuturan baginda ketika bertemu dengan rakyat.

Keprihatinan baginda terhadap rakyat tiada mengenal batasan. Kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara yang mengorbankan 23 nyawa pada September 2017 menjadi perhatian Sultan Muhammad V, yang mencemar duli meluangkan masa meninjau lokasi kejadian selain bertemu pihak pengurusan tahfiz untuk menzahirkan simpati dan mendapat maklumat langsung.

Dalam bidang pentadbiran negara, Sultan Muhammad V yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 24 April 2017, merupakan ketua negara di bawah pentadbiran Barisan Nasional semasa pelantikannya dan menyaksikan peralihan kerajaan yang bertukar kepada kerajaan PH susulan kemenangan gabungan itu pada PRU14 pada 9 Mei 2018.

Sultan Muhammad V memberi ruang luas kepada sistem demokrasi di Malaysia terus hidup subur dengan memastikan berlakunya perubahan tampuk kuasa yang pertama kali dalam sejarah Malaysia secara aman, teratur dan damai.

Baginda berkenan memberi pengampunan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan Ketua Umum PKR dan sedang menjalani hukuman penjara, selepas kerajaan PH mengambil alih pembentukan kerajaan Malaysia pada Mei 2018.

Kepimpinan berpaksikan rakyat juga menyaksikan baginda memperkenan peruntukan gaji dan emolumen baginda dikurangkan sebanyak 10 peratus sepanjang pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong, kerana prihatin terhadap hutang dan keadaan ekonomi negara.

Baginda telah berjaya memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara, berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan dalam kalangan rakyat sepanjang menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong.- Bernama