KDNK berkembang 6.3 -7.5 peratus pada 2021: Tengku Zafrul

Iklan
TENGKU ZAFRUL

KUALA LUMPUR - Agensi-agensi antarabangsa telah mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2021 akan berada dalam sekitar 6.3 peratus hingga 7.5 peratus, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menteri Kewangan berkata, unjuran itu bergantung kepada kejayaan berterusan Malaysia dalam mengurus koronavirus (Covid-19), serta memacu dan memelihara ekonomi ke arah pemulihan dan pertumbuhan.

Iklan
Iklan

"Memandangkan Malaysia adalah ekonomi terbuka, sama ada pertumbuhan kita akan bentuk U ataupun V, ia juga tertakluk kepada faktor luaran seperti pemulihan rakan dagang utama kita serta rantaian bekalan global,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada acara"Invest Malaysia 2020” yang berlangsung di sini hari ini.

Malaysia mencatatkan hanya lima kes baharu Covid-19 pada Isnin, dengan 198 kes aktif serta kadar pemulihan sekitar 98 peratus setakat ini.

Iklan

"Kadar jangkitan mungkin rendah di negara kita, tetapi masyarakat sentiasa diingatkan agar jangan terlalu leka.

"Setiap orang telah diminta untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pelbagai sektor dan aktiviti bagi mencegah jangkitan baharu di negara ini,” kata beliau.

Iklan

Tengku Zafrul berkata, untuk 2020, KDNK telah dianggarkan dalam sekitar -3.8 peratus hingga 0.5 peratus oleh pelbagai agensi.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi berada dalam lingkungan -2.0 peratus hingga – 0.50 peratus, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) (-3.8 peratus) dan Bank Dunia (-3.1 peratus).

"Ini memang dijangka sepenuhnya memandangkan lebih 150 daripada 195 negara di dunia diramal mencatatkan pertumbuhan negatif untuk tahun ini.

"Tetapi, apa yang paling penting adalah memastikan krisis kesihatan dunia tidak berubah menjadi krisis ekonomi. Dan itu sebabnya, Malaysia telah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), kata beliau.

Sementara itu, mengenai kesihatan dan daya tahan pasaran modal Malaysia, Tengku Zafrul berkata sejak dekad lepas, pasaran modal Malaysia telah berkembang pada purata 5.1 peratus setiap tahun dan bernilai lebih RM3 trilion, yang kini dua kali lebih besar saiz KDNK negara.

Ini adalah hampir sama dari segi jumlah permodalan pasaran ekuiti serta nilai bon yang belum dijelaskan, kata beliau.

Tengku Zafrul menambah FBM KLCI juga telah menunjukkan ketahanan berbanding negara-negara lain pada akhir Jun, 2020.

"Dan antara pasaran baharu muncul ASEAN, pasaran kita adalah yang terbaik. Pada urus niaga penutup semalam, FBM KLCI hampir dapat mengumpulkan lebih RM200 bilion permodalan pasaran, menyaksikan pasaran kembali ke paras yang pernah dilihat pada awal tahun,” kata beliau.

Dari segi jumlah aset yang diuruskan oleh pengurus dana, Malaysia telah menyaksikan purata pertumbuhan tahunan sembilan peratus kepada RM823 bilion pada akhir 2019, dipacu oleh pelaburan dalam dana unit amanah, yang menyaksikan purata pertumbuhan tahunan 8.7 peratus sepanjang tempoh yang sama, dengan jumlah nilai aset bersih RM482 bilion.

"Tanpa ragu, pasaran modal telah berperanan sebagai platform utama menggerakkan simpanan dan pelaburan dengan memperuntukkan sumber dengan cekap bagi membiayai perniagaan yang mewujudkan pekerjaan dan kekayaan,” kata beliau.

Pada bulan Mei sahaja, negara ini menyaksikan purata nilai dagangan harian meningkat 65 peratus berbanding April dan mencatatkan nilai dagangan harian tertinggi berjumlah RM9 bilion.

"Jumlah dagangan harian sebanyak 11 bilion saham direkodkan pada bulan yang sama, paras yang tidak pernah dicapai sejak 2010. Ini mencerminkan keyakinan pelabur dalam pembukaan semula ekonomi secara berperingkat di Malaysia, disokong oleh persekitaran kadar faedah yang rendah,” kata Tengku Zafrul.

Sementara itu, pelabur runcit tempatan telah membeli bersih lebih daripada RM6 billion pada akhir Jun, dengan nilai purata dagangan harian (ADV) RM0.9 bilion, iaitu 90 peratus daripada ADV institusi tempatan.

"Ini disokong lagi oleh pertumbuhan ADV sebanyak 128 peratus berbanding pertumbuhan tahunan purata 9.7 peratus sejak tiga tahun lepas.

"Seperti yang sering diungkap, di sebalik setiap krisis, terdapatnya peluang. Kita percaya pelabur yang kembali ke pasaran Malaysia pada bulan Mei untuk melabur dalam syarikat yang meraih keuntungan bukan sahaja daripada pembukaan semula ekonomi, tetapi dari sejumlah langkah-langkah rangsangan dan insentif cukai yang ditawarkan oleh kerajaan,” tambah beliau.

Selain daripada itu, Tengku Zafrul berkata, pelbagai penarafan global juga telah mengesahkan kedudukan Malaysia dalam pelbagai metrik dan ini adalah bukti terhadap dasar dan langkah kukuh negara.

Antaranya, Malaysia berada di kedudukan keempat dunia dalam menangani krisis Covid-19 oleh Indeks Toluna-Blackbox Persepsi Krisis Global 2020; tempat ke-12 dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2020 serta dalam Indeks"DHL Global Connectedness Index 2019”; tempat ke-26 dalam Indeks Daya Saing Bakat Global 2020; dan tempat ke-27 Indeks Daya Saing Global 2019 Forum Ekonomi Dunia.

Beliau berkata, daripada kesemua penarafan itu, jumlah pelaburan Malaysia yang diluluskan adalah bukti kedudukan negara dalam memudahkan perniagaan.

Awal tahun ini, lima projek pembuatan dan perkhidmatan oleh pelaburan asing bernilai RM4.6 bilion telah diluluskan dalam sektor-sektor seperti elektrik dan elektronik serta peranti perubatan.

Pada tahun 2019, Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan bernilai RM208 bilion.- Bernama