IPOH - Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan mencari jalan untuk membantu legenda Perak, Khalid Jamlus yang menghadapi kesusahan sehingga mahu melelong trofi kasut emasnya bagi menampung perbelanjaan.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya bersimpati dengan kesusahan yang dialami bekas pemain Perak itu.
Beliau berkata, dalam keadaan sekarang bukan sahaja Khalid terkesan tetapi semua individu berdepan masalah.
"Buat masa sekarang pihak PAFA memang sentiasa menitikberatkan kebajikan bekas pemain dan semalam saya sudah berbincang dengan beberapa rakan untuk membantu Khalid bagi membolehkan beliau meneruskan kehidupan dengan lebih baik tanpa perlu menjual sentimental value seperti kasut emas dan sebagainya.
"Dalam masa yang sama, saya kira tentu ramai lagi bekas pemain yang sebenarnya terkesan dengan keadaan hidup pasca Covid-19 ini, malahan sebelum Covid-19 pun ramai bekas atlet kita yang mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan Khalid melelong trofi kasut emasnya bagi menampung perbelanjaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas peledak Perak 'korbankan' Kasut Emas
Ahmad Faizal berkata, setakat ini pihaknya belum menentukan sebarang bentuk bantuan atau inisiatif untuk Khalid.
Sementara itu, beliau mengingatkan bekas-bekas pemain agar mempersiapkan diri dengan sebarang kemungkinan.
Katanya, disebabkan itu kerajaan negeri memperkenalkan pelbagai program seperti peningkatan kemahiran, pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dan sebagainya untuk meningkatkan kemahiran.
"Kebanyakan atlet mempunyai tempoh kerjaya lebih kurang 20 tahun dan selepas itu mereka tidak mengetahui peluang lain yang boleh diceburi," katanya.