SHAH ALAM - Perbicaraan saman sivil RM100 juta yang difailkan oleh keluarga Altantuya Shaariibuu berhubung kematian wanita Mongolia itu yang bermula hari ini, menyaksikan peguam yang mewakili defendan mempersoal kecekapan seorang akauntan dalam melaksanakan tugasnya sebagai penterjemah.
Peguam Manjeet Singh Dhillon, yang mewakili salah seorang defendan dalam saman itu, penganalisis politik Abdul Razak Baginda berkata, Enkhjin Batbilig, 31, tidak layak untuk menterjemah keterangan yang diberikan saksi dari bahasa Inggeris ke bahasa Mongolia dan sebaliknya, kerana dia mempunyai pengalaman yang terhad dalam kerja-kerja penterjemahan.
"Mahkamah perlu menimbangkan jumlah kerja penterjemahan (oleh Enkhjin) yang luar biasa. Pengalamannya dalam melakukan terjemahan juga terhad kepada penterjemahan dokumen-dokumen kewangan," katanya kepada mahkamah dalam perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Tinggi di sini.
Dia juga mendakwa, selain tidak mempunyai syarat wajib sebagai penterjemah yang berkelayakan, pertemuan Enkhjin dengan dua saksi Mongolia di sebuah firma guaman selama dua jam semalam, boleh dirumuskan sebagai cubaan untuk melatih keterangan mereka.
Peguam Kanan Persekutuan Norinna Bahadun, yang mewakili kerajaan Malaysia bersama Tengku Intan Suraya Tengku Ismail, turut menyetujui hujah Manjeet.
"Enkhjin bukan penterjemah bebas, dia dikompromi susulan perjumpaannya dengan saksi,” katanya.
Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili keluarga Altantuya mempertahankan Enkhjin yang merupakan anggota ACCA (the Association of Chartered Certified Accountants) bertauliah, dan berkata penterjemah itu fasih dalam berbahasa Inggeris, dan hampir semua kursus yang dilaluinya menggunakan bahasa Inggeris.
Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dalam penghakimannya kemudian memutuskan Enkhjin layak untuk melaksanakan peranan sebagai penterjemah dalam saman sivil, sekaligus menolak bantahan yang dibuat oleh para peguam yang mewakili defendan.
Katanya tidak ada asas untuk mendakwa Enkhjin sebagai berat sebelah semata-mata kerana beliau bersama dengan dua saksi Mongolia berada di pejabat peguam semalam.
Pada 4 Jun 2007, Shaariibuu dan ibu Altantuya, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelakinya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman terhadap dua bekas polis daripada Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri, dan Sirul Azhar Umar, serta Abdul Razak dan Kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun nama Altanshagai Munkhtulga kemudiannya dikeluarkan daripada senarai plaintif selepas beliau meninggal dunia dua tahun lalu.
Dalam pernyataan tuntutan, keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi yang melayakkan mereka dibayar pampasan serta ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.
Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006, namun beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2008 di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil membela diri sementara Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan pada 2009.
Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dengan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.
Bagaimanapun, pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.
Perbicaraan bersambung esok dengan Dr Shaariibuu memberikan keterangannya. - Bernama