KUANTAN - Sejumlah 71 kilang kelapa sawit di Pahang mencatat 99 peratus pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan yang ditetapkan.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, tahap pematuhan yang tinggi itu hasil usaha berterusan pelbagai pihak termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kerajaan negeri seiring dengan visi Kerajaan Negeri Pahang yang menyasarkan 100 peratus pematuhan terhadap akta itu untuk industri kilang sawit menjelang 2021.
Menurut beliau, usaha itu bagi memastikan isu pencemaran berpunca daripada industri berkenaan dapat dikurangkan dan semua kilang sawit dilesenkan di bawah JAS dikenalpasti mengeluarkan efluen yang boleh mencemarkan air serta udara sekiranya tidak dikawal atau dipantau rapi.
"Justeru semua industri kilang kelapa sawit ini perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sebelum Lesen Menduduki Premis Ditetapkan (Kilang Kelapa Sawit) dikeluarkan JAS. Sekiranya pemilik kilang gagal patuhi syarat lesen, tindakan seperti menarik balik lesen boleh diambil.
"Lesen dikeluarkan setahun sekali.Setiap tahun ia akan diaudit iaitu pihak JAS akan membuat pemeriksaan terhadap pematuhan itu dan sekiranya mereka gagal berbuat demikian, tindakan seperti menggantung, menarik balik lesen dan denda boleh diambil, mengikut akta yang ditetapkan," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Perasmian Bengkel Pematuhan Syarat Lesen Kilang Kelapa Sawit Peringkat Negeri Pahang di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah JAS Pahang, Mohd Sani Mohd Daud.
Mohd Sharkar menambah, isu pencemaran alam sekitar melibatkan operasi kilang termasuk kilang kelapa sawit diberi perhatian kerana ia boleh menimbulkan isu alam sekitar yang lebih serius dan memberi risiko langsung kepada kesihatan rakyat jika tidak dikawal dengan baik.
"Sebab itu tindakan sewajarnya perlu diambil terutama oleh pihak JAS supaya rakyat nampak usaha kerajaan dalam menangani isu ini.
"Pemantauan dan kawalan ini dijalankan sejak dulu malah ada kilang diambil tindakan termasuk diberikan amaran, kompaun tindakan mahkamah dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata, kilang-kilang itu disaran menggunakan teknologi dalam memantau dan mengawal pelepasan sisa bagi memastikan pencemaran air dan udara dapat dikurangkan.
"Ia juga dapat memudahkan pihak JAS membuat pemantauan memandangkan kilang-kilang ini letaknya berjauhan antara satu dengan yang lain," kata beliau.
Sementara itu beliau berkata, usaha sedang dilakukan bagi mencari alternatif melupus tandan kosong kelapa sawit yang menjadi isu besar kepada pengusaha kilang sawit di negeri ini.
Katanya, sebanyak 279,737 tan metrik tandan kosong kelapa sawit dihasilkan setiap bulan di negeri ini dan kegagalan menguruskan sisa itu dengan baik akan menyebabkan pencemaran akibat air larut resap yang terhasil.
"Kita difahamkan, tandan kosong kelapa sawit ini boleh diproses untuk menghasilkan produk guna semula, justeru perkara ini sedang diteliti untuk mencari mekanisme terbaik supaya sisa kelapa sawit ini dapat diolah dan mendatangkan keuntungan," katanya.
Sementara itu Mohd Sani berkata, Pahang kekal sebagai negeri yang mempunyai kilang sawit terbanyak di Semenanjung Malaysia.
Menurut beliau, terdapat 71 kilang sawit di Pahang dan daripada jumlah itu, 53 kilang menggunakan kaedah pelupusan efluen melalui alur air, 17 kilang melupuskan efluen ke tanah dan satu kilang menggunakan kedua-dua kaedah itu.
"Bagi tempoh lesen bermula 1 Julai 2019 hingga 30 Jun 2020, sebanyak 372 pemeriksaan penguatkuasaan dilakukan," katanya.