DAP Sabah mahu cadangan PM dari Sabah diteruskan

Iklan
Frankie Poon Ming Fung

KOTA KINABALU - DAP Sabah mempertahankan keputusan supaya sudah tiba masanya Perdana Menteri dipilih dalam kalangan rakyat Malaysia Timur.

Menurut laporan portal Sabah Post, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, pihaknya menghormati keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kelmarin yang memilih Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri gabungan itu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya mengingatkan pemimpin PH untuk tidak menolak sepenuhnya peluang wakil dari Malaysia Timur untuk tampil memimpin negara ini dan keputusan memilih Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menjadi calon jawatan itu harus tetap terbuka.

"Kami terima dan hormati keputusan Majlis Presiden PH tetapi kami mahu mengulangi sekali lagi bahawa tiada apa-apa yang menghentikan pemimpin dari Malaysia Timur daripada menjadi Perdana Menteri seperti juga dengan mana-mana ahli Parlimen yang sama-sama layak untuk dicalonkan memegang jawatan itu.

Iklan

"Mohd Shafie, pemimpin yang berjaya menyatukan rakyat daripada pelbagai bangsa dan agama di Sabah dengan menyediakan persekitaran yang baik di mana mereka yang berlatar belakangkan budaya dan fahaman yang berbeza dapat membantu antara satu dengan yang lain,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa beliau dan penyokongnya bersetuju untuk memilih Mohd Shafie menggantikannya sebagai Perdana Menteri dalam gabungan PH Plus.

Iklan

Frankie Poon yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah itu turut mengingatkan majlis akan kesetiaan Mohd Shafie kepada PH walaupun berada di tengah-tengah kemelut politik.

"Sejak dari mula, beliau dan parti pimpinannya Warisan berdiri bersama dengan PH dalam keadaan susah dan senang.

"Justeru, kami kekal memberi sokongan kepada rakyat Malaysia Timur sebagai Perdana Menteri kerana belum ada yang memegang tampuk itu dari sini,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan di bawah PH sebelum ini bukan sahaja terdiri daripada parti dari semenanjung tetapi juga parti-parti dari Malaysia Timur terutama Warisan dan Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO).

"Tidak ada gabungan politik boleh memerintah negara ini tanpa sokongan daripada parti wakil rakyat Malaysia Timur,” katanya.