BRASILIA - Presiden Brazil, Jair Bolsonaro mengumumkan kelmarin beliau positif dijangkiti koronavirus (Covid-19), namun mengakui masih sihat dan hanya mempunyai simptom yang tidak serius.
Pemimpin itu mencetuskan kontroversi di Brazil kerana kerap melanggar langkah-langkah bagi menangani penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan 65,000 orang meninggal dunia di negara terbesar Amerika Selatan dan menjangkiti 1.6 juta penduduk.
Ujian sudah dilakukan dan dan ia positif, kata Bolsonaro pada satu ucapan televisyen dari kediamannya di ibu kota Brazil, Brasilia dengan menyatakan beliau mengambil ubat hydroxychloroquine dan azithromycin untuk mengubati penyakit tersebut.
Hydroxychloroquine merupakan ubat yang kerap digunakan untuk merawat penyakit malaria, manakala azithromycin pula adalah antibiotik yang digunakan bagi merawat pneumonia.
Berumur 65 tahun, beliau mengakui berasa tidak sihat pada Ahad lalu dan menjadi lebih teruk pada Isnin lepas dengan letih, sakit dan demam pada suhu 38 darjah Celsius.
Bagaimanapun, beliau menegaskan berasa baik, tenang dan menanggalkan pelitup muka ketika membuat pengumuman itu pada sidang akhbar tersebut.
"Hidup kena diteruskan. Kami perlu mengambil berat terutamanya kepada orang tua dan berpenyakit yang merupakan faktor berisiko (dijangkiti Covid-19)," tambahnya dengan mengulangi kenyataan bahawa kesan-kesan kerosakan virus tersebut tidak sepatutnya menjadi lebih teruk daripada penyakit itu sendiri.
Pada Isnin lalu, presiden itu mengumumkan telah mengambil satu ujian dan memberitahu CNN Brazil bahawa beliau menjalani pemeriksaan X-ray pada bahagian paru-paru di sebuah hospital tentera sebagai langkah berjaga-jaga.
Sejak permulaan virus itu, Bolsonaro didakwa sering memandang remeh ancaman penyakit tersebut dengan apa yang dipanggilnya sebagai selesema kecil dan tidak mempedulikan peraturan penjarakkan sosial serta langkah menangani Covid-19 seperti memakai pelitup muka di khalayak ramai.
"Saya seorang presiden. Saya suka berada dalam kalangan rakyat dan memberikan hubungan rapat. Saya berpendapat saya sudah mendapat Covid-19 pada awal tanpa mengetahuinya," kata Bolsonaro yang tidak terkejut dengan ujian berkenaan.
Brazil merupakan negara kedua teruk dilanda Covid-19 selepas Amerika Syarikat (AS).
Bolsonaro, bekas seorang kapten tentera diuji sebanyak tiga kali Covid-19 tetapi keputusannya adalah negatif.
Pada Mac lalu, beliau mendakwa virus tersebut tidak akan menjangkitinya kerana sejarah lampaunya yang pernah menjadi atlet dan pernah ditikam pada bahagian abdomen pada kempen 2018 dengan berkata:"Selesema kecil tidak akan menjatuhkannnya."
Sabtu lalu, Bolsonaro menyiarkan gambar-gambar menerusi media sosial yang menunjukkan beliau tidak memakai pelitup muka pada jamuan tengah hari bersama duta AS dan beberapa menteri lain bagi meraikan 4 Julai iaitu hari kemerdekaan AS.
Brazil tidak pernah mempunyai strategi yang kukuh untuk menangani krisis Covid-19 dan terdapat perbalahan antara gabenor negeri dan kerajaan persekutuan.
Bolsonaro juga telah memisahkan dirinya dengan dua menteri kesihatan ketika krisis Covid-19 kerana tidak bersetuju dengan strategi yang digunakan bagi menangani pandemik itu. - AFP