Penganggur rompak telefon bimbit warga emas dijel

Iklan
Seorang penganggur dihukum penjara tiga tahun kerana merompak telefon bimbit milik seorang warga emas di hadapan sebuah masjid.

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merompak telefon bimbit milik seorang warga emas di hadapan sebuah masjid Jumaat lepas.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Alif Fadilat Abdullah, 28, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 3 Julai lepas.

Iklan
Iklan

Lelaki itu telah merompak telefon bimbit berharga RM500 milik Tuan Zakaria Tuan Hassan, 73, di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru, Dang Wangi di sini pada jam 10.30 pagi, 3 Julai lalu mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran, mengambil kira mangsa adalah warga emas.

Iklan

"Kejadian ini berlaku di tempat awam iaitu di hadapan masjid. Hal ini menimbulkan ketakutan kepada orang awam,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Alif Fadilat yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf.

Iklan

Berdasarkan fakta kes, semasa mangsa sedang duduk di sebuah kerusi di hadapan masjid sambil menggunakan telefon bimbit, tiba-tiba tertuduh datang dari arah belakang lalu mengambil telefon bimbit itu dan terus melarikan diri. - Bernama