SHAH ALAM - Pemuda UMNO menggesa Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad untuk meletakkan jawatan sebagai menteri Kabinet susulan kenyataannya mengatakan UMNO sebagai sebuah parti yang tidak laku di Sabah.
Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan tidak bertanggungjawab yang dibuat Abdul Latif menerusi sebuah video yang tular itu tidak harus diungkapkan oleh individu berstatus menteri dalam sebuah kerajaan yang terbentuk hasil kerjasama gabungan parti-parti politik terutamanya UMNO sebagai rakan komponen terbesar.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius kenyataan tersebut yang dianggap biadab serta angkuh.
"Lebih menghiris lagi apabila kenyataan yang berupa penghinaan sebegitu diluahkan oleh seorang pengkhianat parti yang lari dan terjun meninggalkan bahtera UMNO di saat badai besar melanda, sedangkan bahtera inilah yang pernah mengangkat beliau sebagai Ahli Parlimen Mersing.
"Justeru, demi maruah UMNO serta untuk mengekalkan keharmonian dan penghormatan parti-parti yang bekerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), Pemuda UMNO bertegas agar Abdul Latiff segera meletakkan jawatan selaku enteri Kabinet," katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu video yang memaparkan kenyataan Abdul Latif dalam sebuah forum terbuka mengenai perkara itu tular di media sosial di mana beliau menyebut"orang Sabah dia tidak sebut lompat tapi panggil hijrah dan biasa dari Berjaya ke PBS, PBS pergi UMNO.
"Sekarang ini UMNO sudah tidak laku, maksud saya parti UMNO di Sabah kerana realitinya orang tidak yakin. Semua yang lompat juga sudah hijrah ke Bersatu (parti Pribumi Bersatu Malaysia)," katanya menerusi video terbabit.
Dalam pada itu, menurut laporan PNBBC Portal, Abdul Latif dikatakan sudah memohon maaf berhubung perkara tersebut dan menegaskan kenyataannya menerusi video yang tular telah disalah tafsir.
"Kenyataan itu adalah kenyataan peribadi bukan mewakili parti. Saya dengan rendah diri ingin memohon maaf sekiranya kenyataan saya itu menyinggung perasaan sesetengah pihak,” katanya.