Empat lagi kategori pelajar IPT dibenar ke kampus berperingkat

Iklan
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad pada sidang media mengenai Pengajian Tinggi di Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan kemasukan empat lagi kategori pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ke kampus secara berperingkat mulai bulan ini dan kemasukan sepenuhnya pada Oktober.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, kumpulan pelajar itu merupakan tambahan kepada lima kategori pelajar yang telah diberi kebenaran sebelum ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, empat kategori itu termasuk 30 peratus pelajar tempatan di institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) seperti yang dimohon oleh Persatuan Kolej dan Universiti Swasta.

"Pelajar tahun satu hingga empat IPTA dalam bidang pengajian yang memerlukan latihan klinikal, latih amal, praktikal, bengkel, makmal, studio atau peralatan khusus, serta mereka yang perlu menduduki peperiksaan badan profesional.

Iklan

"Pelajar tahun satu hingga empat IPTA yang tidak mempunyai akses internet atau persekitaran kondusif, seperti ruang belajar yang sempit atau keadaan yang tidak selesa bagi melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian,” katanya pada sidang media khas Menteri Pengajian Tinggi berkenaan kemasukan pelajar IPT di sini hari ini.

Noraini berkata, kategori seterusnya adalah pelajar antarabangsa daripada IPTA dan IPTS termasuklah pelajar baharu.

Iklan

Beliau berkata, IPT diberi fleksibiliti dalam menentukan mod pembelajaran yang bersesuaian termasuklah meneruskan PdP secara dalam talian kepada pelajar-pelajar yang terlibat mengikut keperluan program masing-masing.

Katanya, bagi pelajar antarabangsa, mereka perlu mendaftar dengan pihak Education Malaysia Global Services sebelum diberikan kebenaran masuk ke Malaysia oleh pihak Jabatan Imigresen.

"Mereka perlu menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) atau Rapid Test Kit (RTK) Antigen dalam tempoh tiga hari sebelum masuk ke negara ini.

"Selain itu, mereka juga dikehendaki menjalani saringan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan di pintu masuk negara ini dan menjalani kuarantin diri selama 14 hari di lokasi yang akan ditetapkan oleh IPT masing-masing,” katanya.

Noraini berkata, prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan itu akan dikemas kini bergantung kepada arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Mengenai masalah yang akan dihadapi pelajar seperti isu penginapan dan tiket penerbangan untuk kembali ke kampus, beliau berkata, pelajar boleh menghubungi bahagian hal ehwal pelajar di IPT masing-masing.

Beliau berkata, semua aktiviti sukan dan riadah di kampus dibenarkan dengan syarat tidak melebihi 250 orang tertakluk kepada saiz ruang dan perlu mematuhi penjarakan sosial serta mengamalkan kebersihan diri.

Noraini berkata, bagi memastikan keputusan ini dapat dilaksanakan dengan sempurna, IPT dan para pelajar dimohon untuk membuat persediaan yang diperlukan mulai dari sekarang.

Beliau berkata, kementerian berpendapat tempoh hampir tiga bulan yang masih berbaki sehingga semester baharu dimulakan pada Oktober ini adalah mencukupi bagi semua pihak membuat persiapan dan persediaan yang diperlukan.- Bernama