SUHU termometer sukan bola sepak Malaysia kembali ‘menggelegak’ sejak beberapa hari kebelakangan ini. Semuanya gara-gara kisah tiga individu dari sisi berbeza.
Pertama, Khalid Jamlus, nama yang tidak asing lagi bagi peminat bola sepak Malaysia terutamanya penyokong setia Perak. Sebut saja nama Khalid, mereka sudah tahu siapa gerangan empunya diri.
Namun, malangnya kisah Khalid baru-baru ini cukup mengejutkan. Tiba-tiba saja namanya ‘meletup’. Ia angkara tindakan Khalid melelong trofi Kasut Emas miliknya.
Ada yang bersimpati, malah ada yang mengecam tindakannya itu. Bagi yang bersimpati, mereka berharap Khalid kembali bangkit daripada kesempitan hidup. Yang mengecam pula, mereka anggap itu sekadar publisiti murahan.
Khalid sendiri telah membuat penjelasan panjang lebar tentang apa sebab dia berbuat demikian. Bagi Khalid, apa yang dilakukannya itu tidak menyalahi undang-undang, apatah lagi meminta-minta daripada pihak di luar sana.
Dalam pada cerita Khalid menerobos setiap platform media, kisah Luqman Hakim Shamsudin, pemain berusia 18 tahun kelahiran Kelantan, turut menggamit perhatian.
Selepas masa depan Luqman mencetuskan tanda tanya sejak beberapa minggu lalu, akhirnya ternoktah segala teka-teki. Tuan punya badan sudah bersuara, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) juga sudah keluarkan kenyataan rasmi.
Apa yang penting bagi Luqman ketika ini hanyalah fokus kepada kariernya. Paling penting, jangan ‘balik awal’. Peluang yang ada, jangan disia-siakan. Belgium bukan negara calang-calang dalam peta bola sepak dunia.
Rakyat Malaysia pastinya mendoakan Luqman mencapai impiannya. Kini ‘bola’ sudah ada di kaki Luqman, jadi Luqman harus bijak mengatur langkah demi mengembangkan kariernya.
Dalam pada peminat bola sepak tempatan mengikuti kisah Khalid dan Luqman, pujian harus diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana pantas bertindak terhadap isu pemain dari Congo, Marcel Kalonda.
Selepas semakan dibuat, Kalonda tidak layak menyarung jersi Harimau Malaya atas berdasarkan status pemain warisan. Kes Kalonda ini cukup menjadi asas untuk FAM lebih berwaspada.