KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menegaskan tidak pernah melantik ejen atau orang tengah untuk menguruskan permohonan tuntut faedah yang bertindak bagi pihak agensi itu.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Perkeso berkata, sebarang urusan dengan agensi berkenaan adalah secara terus dan tidak perlu melalui mana-mana orang tengah.
Iklan
Iklan
"Orang awam diingatkan supaya tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang mengaku sebagai orang tengah kepada Perkeso dalam menguruskan sebarang permohonan tuntutan faedah.
"Demi menjamin kebajikan Orang Berinsurans (OB), Perkeso komited dalam menguruskan permohonan tuntutan faedah OB yang layak dengan kadar segera dan mengikut sistem tadbir urus sedia ada,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Perkeso mengesahkan kenyataan media yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 Julai 2020 berkaitan tangkapan tiga beranak yang disyaki menjadi dalang sindiket penipuan faedah yang diuruskan agensi itu.
Katanya, tangkapan tersebut adalah hasil kerjasama antara Perkeso dan SPRM.
"Sindiket berkenaan dikesan mengemukakan tuntutan palsu ke atas faedah-faedah yang diuruskan Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969,” katanya.