IPOH - Kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP) bagi premis di sekitar Bandar raya Ipoh melebihi 90 peratus.
Pengarah Kanan Perkhidmatan dan Operasi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Musa Dun berkata, berdasarkan lawatan yang dibuat di premis-premis dan pasar-pasar malam sekitar Bandar raya Ipoh, pihaknya mendapati kadar pelanggaran SOP sangat minimum.
Menurutnya, kebanyakan pelanggaran tersebut melibatkan penjarakkan sosial antara pelanggan.
"Di Ipoh ini, saya bangga kerana mereka amat patuh dengan SOP walaupun terdapat segelintir individu yang melanggarnya terutama penjarakkan sosial.
"Apabila teguran dibuat, mereka segera membetulkan kembali SOP dan kadar pematuhan melebihi 90 peratus," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Musa berkata, kebanyakan peniaga mematuhi SOP, malah bertindak menegur pelanggan yang mengalih meja untuk duduk bersama rakan-rakan.
Katanya, bagi pasar malam pula, kesemua peniaga terus mematuhi SOP penjarakkan gerai antara satu sama lain.
Jelasnya, pemantauan dan pemeriksaan diadakan secara berterusan agar peniaga serta pelanggan terus mematuhi SOP ditetapkan.
Tinjauan di sekitar Ipoh mendapati, orang ramai terus mengamalkan penjarakkan sosial.
Misalnya di Pasar Malam Halaman Meru Permai, pelanggan tetap beratur menulis nama dan memeriksa suhu walaupun keadaan hujan.
Bagi Pengerusi Pasar Malam Halaman Meru Permai, Muhammad Shuhaimi Abdul Latif, normal baharu pasar malam yang masuk minggu ketiga beroperasi mula diterima oleh peniaga dan pengunjung.
"Setiap peniaga juga perlu mendaftar diri dan diperiksa suhu boleh membuka gerai di pasar malam ini," katanya yang juga Pengeru Persatuan Penduduk Halaman Meru Permai.
Menurutnya, seramai 18 petugas pasar malam membantu menguruskan operasi dan memastikan SOP dipatuhi setiap minggu.
Berlainan pula di JITRA, kesedaran orang ramai tentang amalan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat Kedah di tempat-tempat awam dilihat semakin diabaikan.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan awam, kedai makan dan restoran di sini mendapati ramai orang awam yang tidak memakai pelitup muka.
Seorang pelanggan kedai makan yang mahu dikenali sebagai Zakaria berkata, dia datang ke kedai tersebut untuk membungkus makanan dan segera pulang ke rumahnya.
"Saya tahu tentang kempen mematuhi SOP dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tapi saya datang ke sini pun bukan lama. Lepas bungkus makanan terus balik. Saya ke sini pun pada waktu orang tidak ramai. Jika tengok kedai ramai orang saya tidak akan masuk," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Warisan Kubang Pasu, Mohd Farhan Majid berkata, beliau berpendapat bahawa masyarakat kini semakin leka tentang pematuhan SOP seperti memakai pelitup muka di tempat awam termasuk penjarakan sosial.
Menurutnya, orang ramai termasuk pemilik premis disarankan kembali kepada pematuhan SOP bagi terus membendung penularan wabak Covid-19.
"Kita perlu sedar bahawa pandemik Covid-19 belum berakhir dan vaksin kepada pandemik ini juga masih belum dijumpai.
"Teruskan kepada pematuhan SOP kerana kita masih belum menang melawan wabak ini," katanya.