PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) berharap pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini mampu mencari jalan penyelesaian bagi beberapa perkara terutamanya melibatkan isu tunggakan gaji pemain.
Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, pertemuan diketuai pemangku Presiden KAFA, Datuk Shaari Mat Hussin itu, akan turut membincangkan mengenai bentuk bantuan yang dapat diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada badan induk bola sepak Kelantan itu.
Justeru menurut Husin, pertemuan itu diharap mampu memberikan impak positif seterusnya membantu usaha KAFA menyelesaikan isu tunggakan gaji berkenaan.
"Secara keseluruhannya, pertemuan hari ini akan membincangkan mengenai banyak perkara khususnya berhubung bayaran gaji yang tertunggak dalam kalangan pemain tempatan dan juga pemain import.
"Isu tunggakan gaji pemain ini telah berlarutan sejak sekian lama menyebabkan jumlahnya sudah pun mencecah jutaan ringgit.
"Jadi diharapkan pertemuan ini dapat menghasilkan keputusan positif buat KAFA dalam usaha menyelesaikan permasalahan dihadapi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
KAFA kini menanggung hutang berjumlah hampir RM5 juta yang secara keseluruhannya melibatkan isu tunggakan gaji pemain tempatan dan import.
KAFA juga menerima tiga arahan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi tuntutan tiga pemain importnya Casio Francisco de Jesus berjumlah RM629,620.28, Bruno Lopez (RM141,103.60), Alaeddine Bouslimi (RM157,380) selain lapan lagi tuntutan kes pemain serta jurulatih import selain perlu menyelesaikan tuntutan pemain tempatan sebelum tarikh akhir 30 Jun lalu.
Mengenai Tabung Selamatkan Bola Sepak Kelantan, Husin berkata kutipan bagi tabung itu sudah pun dihentikan ketika ini.
Katanya, setakat ini masih belum ada perancangan KAFA untuk menyambung atau meneruskan kutipan berkenaan.
"Kutipan tabung sudah pun ditutup dan kita nak maklumkan bahawa kita mengumpul RM25,000 sejak kutipan bermula awal Mei lalu.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menghulurkan sumbangan kepada tabung ini kerana sumbangan anda besar nilainya buat kami,” katanya.