KUALA LUMPUR - Kerajaan komited dalam usaha memastikan golongan pencari kerja tempatan termasuk para graduan terus diutamakan untuk diserap ke dalam sektor pekerjaan negara mengikut bidang yang bersesuaian dengan kelayakan masing-masing.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, setiap peluang pekerjaan yang wujud serta ditawarkan majikan wajib mengutamakan calon pencari kerja tempatan terlebih dahulu dengan mengambil kira keadaan mencabar susulan wabak koronavirus (Covid-19).
"Dalam merealisasikan usaha ini, kerajaan bersetuju mewajibkan majikan agar mengiklankan semua kekosongan jawatan ditawarkan di Portal JobsMalaysia dalam tempoh tidak kurang 30 hari sebelum mereka bercadang mengambil pekerja asing dan pegawai dagang.
"Ia bertujuan supaya jabatan atau agensi di bawah kementerian mempunyai ruang masa mencukupi untuk melaksanakan proses pemadanan kerja serta dapat mengutamakan kepada calon pencari kerja tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saravanan berkata, dalam masa yang sama calon-calon pencari kerja tempatan di negara ini digalakkan untuk mendaftarkan diri di dalam portal MYFutureJobs.
"Bagi agensi pencari kerja swasta termasuk yang mengurus dan memberi kebenaran untuk pengambilan pekerja asing serta pegawai dagang pula, mereka diingatkan supaya memantau untuk memastikan majikan mengambil tindakan sewajarnya seperti peraturan ditetapkan kerajaan.
"Majikan diwajibkan mematuhi elemen ‘Foreign Workers First Out (FWFO) selaras peruntukan Seksyen 60N Akta Kerja 1955 dan ‘Code of Conduct for Industrial Harmony’ supaya aspek berkaitan pemberhentian perkhidmatan pekerja asing ditamatkan terlebih dahulu bagi kelangsungan pekerja tempatan," katanya.
Menurutnya, syarikat yang ingin mengecilkan saiz perniagaan dengan mengurangkan pekerja tempatan dan asing, diwajib melaporkan perkara itu kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menerusi borang pemberhentian kerja sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tindakan diambil.
Beliau berkata, arahan itu selaras mengikut Seksyen 63 Akta Kerja 1955 selain membolehkan pihak JTK dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membuat perancangan sewajarnya dalam membantu penempatan semula pekerjaan bagi mereka yang terjejas. - Bernama