SACRAMENTO - Seorang wanita dipecat gara-gara dengan sengaja batuk di hadapan muka seorang bayi di California, Amerika Syarikat.
Kejadian tersebut berlaku pada 12 Jun lalu, apabila wanita berusia lingkungan 60-an itu sedang beratur di hadapan seorang pelanggan wanita bersama bayinya untuk membeli minuman.
Menurut laporan polis, wanita itu berang apabila ibu kepada bayi berkenaan tidak menjaga jarak sosial dengan betul sebelum dia bertindak membuka topeng mukanya dan batuk beberapa kali di hadapan muka bayi tersebut.
Kata polis, siasatan sedang dijalankan dan nama wanita itu tidak akan didedahkan selagi surat perintah penangkapan mereka belum dikeluarkan.
Terdahulu, sebuah rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan tindakan wanita itu menjadi tular di laman sosial.
Sekolah Daerah Oak Grove di San Jose baru-baru ini mengumumkan wanita tersebut yang identitinya tidak didedahkan, bukan lagi merupakan kakitangan sekolah itu.
"Pihak kami mahu memaklumkan bahawa kami amat menitik beratkan keselamatan pelajar dan kanak-kanak di daerah ini.
Kami tidak akan bertoleransi dengan mana-mana kakitangan yang berkompromi dalam keselamatan kanak-kanak," katanya.- Agensi