Ambil kira kos sara hidup yang semakin tinggi

Iklan
Solomon

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berpendapat, sebarang kajian mengenai kadar garis kemiskinan harus mengambil kira faktor gaji rendah dan kos sara hidup yang semakin meningkat khususnya di kawasan bandar yang menjadi tumpuan sebilangan besar warga pekerja.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, kerajaan tidak boleh mengekalkan paras kemiskinan pada pendapatan bulanan RM980 seperti sekarangh memandangkan kebanyakan pekerja di Malaysia juga sekian lama tidak menikmati kenaikan gaji munasabah bagi menampung kos kehidupan yang menokok.

Iklan
Iklan

"Paras 0.4 semasa juga tidak realistik kerana ia menggunakan kayu pengukur atau mekanisma yang lapuk,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, kebanyakan rakyat terpinggir daripada program kerajaan ketika ini kerana dasar-dasar pembasmian kemiskinan ketika ini tidak berlandaskan data pengukur kemiskinan yang sejajar dengan realiti semasa.

Iklan

Jelasnya, hanya dengan pendekatan sebegitu, maka kerajaan berupaya menggubal dasar-dasar realistik yang berupaya membela masyarakat tersisih dan miskin, sebilangan besar yang merangkumi warga pekerja.

"Semua faktor ini harus diambil kira untuk kerajaan merumuskan mekanisma baharu bagi mengukur paras kemiskinan di Malaysia,” katanya.

Iklan

Sementara itu, katanya, MTUC menyambut baik usaha kerajaan untuk mengkaji semula kadar garis kemiskinan di negara ini memandangkan kos kehidupan masa kini sentiasa meningkat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, garis kemiskinan nasional bakal disemak semula.

Menurutnya, isu garis kemiskinan itu telah dibincangkan dalam Kabinet sejak tahun lalu dan beberapa jawatankuasa Unit Perancang Ekonomi telah menyemak dan mengemas kini angka tersebut.

Mustapa turut mengakui, kadar garis kemiskinan nasional pada masa ini sebanyak RM980 sebulan bagi setiap isi rumah berdasarkan kajian metodologi yang dilakukan pada tahun 2005 sudah ketinggalan zaman.